Malaysiakini BERITA

SPRM nafi anggap kereta Waytha bukan aset

Hariz Mohd  |  Diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan badan itu tidak menganggap kereta P Waythamoorthy sebagai aset yang perlu diisytiharkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamsun Baharin Mohd Jamil memberitahu Malaysiakini agensi antirasuah itu tidak pernah mengeluarkan pandangan sebegitu kepada mana-mana anggota parlimen.

"Pada pandangan SPRM aset yang boleh diisytiharkan ialah semua harta boleh alih atau tidak, termasuk semua aset.

"Harta boleh alih termasuklah kereta, motosikal, motobot, helikopter dan sebagainya," kata Shamsun Baharin.

Menjelaskan kekeliruan yang timbul beliau berkata menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan mungkin tersilap.

Katanya individu dirujuk Waythamoorthy sebagai berpandangan kereta bukan aset yang perlu diisytiharkan itu sebenarnya pegawai Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Terdahulu Waythamoorthy hari ini tampil menjelaskan mengenai status dua buah kereta yang didaftarkan dengan namanya dan ditularkan beberapa blog propembangkang.

Ia menjadi perhatian kerana senator terbabit pada semalam mendakwa dia tidak mempunyai sebarang harta untuk diisytiharkan kepada SPRM.

Buat masa ini pengisytiharan harta tidak diwajibkan kepada anggota kabinet atau ahli parlimen namun sebahagian besar daripada mereka dari Pakatan Harapan (PH) sudah melakukannya secara sukarela.

Maklumat itu boleh dilayari di laman sesawang SPRM.

Menurut Shamsun Baharin SPRM tidak pernah mengeluarkan nasihat bahawa kereta bukan aset yang perlu diisytiharkan oleh anggota kabinet.

"Justeru kalau dia dapat nasihat itu daripada pegawai GIACC, kita tak boleh kata itu pendirian SPRM," katanya.

Untuk rekod GIACC ialah badan khas yang ditubuhkan selepas PH membentuk kerajaan pusat melalui PRU ke-14 lalu.

Ia kini diketuai bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed.

[Baca berita penuh]