Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ: Tubuh RCI Tabung Haji, ambil kira amaran Bank Negara
Diterbitkan:  Dec 11, 2018 9:54 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Sambil menyokong gesaan supaya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat isu Lembaga Tabung Haji (TH) bekas ketua Pemuda Umno berkata, pelbagai fakta terdahulu mesti diambil kira.

Kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar antara fakta itu ialah amaran yang pernah dikeluarkan oleh Bank Negara beberapa tahun lalu.

"Siasatan boleh mengambil kira semua fakta termasuk amaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara beberapa tahun dahulu.

"Saya harap kita dapat merujuk perkara ini kepada siasatan bebas yang boleh melapor semula ke parlimen dalam tempoh tiga bulan," ciapnya petang tadi.

Terdahulu Khairy yang juga anggota parlimen Rembau menyatakan sokongannya kepada saranan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semalam.

Kata Mohamad RCI wajar ditubuhkan bagi mencari kebenaran mengenai kedudukan kewangan TH.

Menurutnya laporan yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof semalam mengundang kerisauan mendalam dan perlu dipandang serius semua pihak.

Siapa betul siapa salah

“Saya yakin orang Melayu dan Islam di negara ini mendambakan kebenaran daripada pendedahan ini dan seterusnya menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang terlibat,” katanya.

Menurut Khairy status TH melibatkan dua laporan audit yang bercanggah dengan masing-masing disediakan firma Ernst & Young (E&Y) - dan disahkan Jabatan Audit Negara dan digunakan oleh pengurusan lama - serta PricewaterhouseCoopers (PWC) - yang dilantik selepas PH menjadi kerajaan.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata ada tuduhan bahawa laporan EY tidak tepat dan menggunakan perakaunan kreatif (creative accounting) supaya TH tetap dapat membuat bayaran dividen.

"Padahal laporan PWC menyebut kedudukan kewangan sebenar (TH) tidak mampu untuk membayar dividen.

"PWC dan EY ialah antara dua firma audit terbesar di dunia. Siapa betul, siapa salah?" katanya menerusi bebenang ciapan petang tadi.

Mohamad Hasan

Justeru kata Khairy beliau sependapat dengan pandangan Mohamad serta salah seorang Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bahawa RCI wajar ditubuhkan segera.

"Hanya dengan cara ini dapat kita (temui) kepastian dan kebenaran yang semakin tenggelam dalam kebisingan suara tuduhan di media sosial akibat pendedahan ini," katanya.

Untuk rekod Bank Negara pernah mengeluarkan nasihat kepada TH mengenai kedudukan kewangan badan badan yang ditubuhkan untuk membantu umat Islam di negara ini menunaikan haji.

Nasihat itu dikeluarkan gabenor pada ketika itu, Dr Zeti Akhtar Aziz, dan bertarikh 23 Dis 2015. Ia dialamatkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom.

Menurut surat itu TH didapati membayar dividen dan bonus menggunakan rizabnya sejak 2012 menyebabkan ia tidak mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab kewangannya.

Amaran itu bagaimanapun didakwa tidak diberi perhatian pemimpin ketika itu.

Lihat Komen
ADS