Paling Popular
Terkini

Anggota Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas dakwaan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan, Cai Kin Kong.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan itu dibuat berikutan timbalan pendakwa raya, Julia Ibrahim sebelum ini meminta Tengku Adnan dibebas tanpa dilepaskan.

Permohonan itu dibuat kerana pihak pendakwaan mahu tuduhan itu dibicarakan berasingan dengan satu lagi pertuduhan rasuah terhadap bekas menteri wilayah persekutuan.

Tengku Adnan atau Ku Nan didakwa menerima RM2 juta daripada Cai melalui sekeping cek daripada Aset Kayamas Sdn Bhd, walaupun beliau tahu Aset Kayamas, Sinerjuta Sdn Bhd, Fiber Vista Sdn Bhd, Era Ecoland Sdn Bhd, Garuda Searah Sdn Bhd dan Ujana Mutiara Sdn Bhd berurusan dengan kementeriannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang menyatakan ia adalah kesalahan untuk penjawat awam menerima barang berharga tanpa pertimbangan.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Hakim Azman Ahmad kemudian membenarkan ikat jamin RM500,000 bagi bendahari agung Umno itu.

Ku Nan juga bulan lalu didakwa menerima RM1 juta daripada pemaju Tan Eng Boon yang didakwa memberi rasuah dan bersubahat dengan ahli Parlimen Putrajaya itu.

Tengku Adnan dikatakan mendapat sekeping cek dan memasukkannya ke akaun banknya, walaupun beliau tahu Nucleus Properties Sdn Bhd – kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd – mempunyai hubungan kerja rasmi untuk menambah nisbah plot bagi projek pembangunan sebidang tanah di Jalan Semarak.

Bendahari agung Umno itu didakwa melakukan kesalahan itu di Bank CIMB cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Disember 2013.

Azman menetapkan 7 Januari untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

Tengku Adnan diwakili peguam, Tan Hock Chuan.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS