Pak Lah, Susilo bertemu Khamis ini
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono akan mengadakan rundingan tahunan yang pertama bagi mereka sejak mengambil alih kepimpinan negara masing-masing.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono akan mengadakan rundingan tahunan yang pertama bagi mereka sejak mengambil alih kepimpinan negara masing-masing.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Abdullah dan Susilo bertemu di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Khamis dan Jumaat ini bagi membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama.
Rundingan tahunan itu adalah sebahagian daripada pertemuan tradisi antara perdana menteri Malaysia dan presiden republik itu bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama antara kedua-kedua negara.
Menurut laporan Bernama, Pada hari pertama, Susilo akan mengadakan jamuan malam bagi meraikan Abdullah.
Kedua-dua pemimpin itu juga dijangka akan menyaksikan beberapa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara lain berkaitan mengelakkan cukai berganda dan kemasukan melalui sempadan.
Tiga MoU juga akan ditandatangani oleh kerajaan Melaka dan wilayah Sumatera Barat mengenai pengurusan pemuliharaan bangunan warisan, pendidikan dan perubatan.
Pembinaan paip gas
Di samping itu, sektor swasta juga akan menandatangani beberapa MoU berkaitan dengan pembinaan paip penyaluran gas di luar persisir pantai dan kerjasama dalam industri kelapa sawit.
Dalam lawatan tersebut, Abdullah akan diiringi oleh menteri-menteri Kabinet, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Besar Kedah Datuk Mahdzir Khalid, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Selain itu, rombongan Malaysia juga akan disertai pegawai kanan kerajaan dan wakil sektor korporat.
Kenyataan itu menyebut bahawa hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Jakarta adalah sentiasa rapat dan mesra serta menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, pertahanan dan keselamatan di pelbagai peringkat kumpulan kerja seperti Jawatankuasa Am Sempadan.
"Mekanisme dua hala sedia ada yang diwujudkan oleh kedua-dua negara bagi memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama seperti rundingan tahunan ini telah membantu meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia," menurut kenyataan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.