Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CEO syarikat bersekutu Tabung Haji diarah bela diri

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat bersekutu Tabung Haji - TH Heavy Engineering Bhd (THHE) - yang didakwa atas lima pertuduhan pecah amanah dan empat pertuduhan pengubahan wang haram agar membela diri.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Nor Badli Munawir Mohamad Alias ​​Latfi, 52.

Nor Badli, yang diwakili peguam Kitson Foong, memberitahu mahkamah bahawa beliau akan memberi keterangan dengan mengangkat sumpah.

Sebelum ini dilaporkan Nor Badli didakwa dengan lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM2.57 juta lima tahun lalu.

Nor Badli didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Bhd untuk melakukan pecah amanah terhadap lima cek bernilai RM400,000, RM570,000, RM430,000, RM600,000 dan RM575,800 setiap satu antara April dan Oktober 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat TH Heavy Engineering Fabricators Sdn Bhd di Level 23, Tower B, Menara UOA di Bangsar, Kuala Lumpur.

Dia juga menghadapi empat tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam. 

Bagaimanapun, perbicaraan dijalankan secara bersama di Kuala Lumpur.

Rozina menetapkan 13 Feb tahun depan bagi Nor Badli untuk memasuki pembelaan.

Lihat Komen
ADS