Nama bekas perdana menteri Najib Razak paling banyak dicari di laman Google, menurut laporan carian gergasi Internet itu bagi tahun ini.

Selepas 2015, ini kali pertama nama Najib memasuki senarai 10 paling dicari dalam kategori “Orang Sohor 2018”.

Tiga tahun lalu nama Najib menjadi antara paling banyak dicari pengguna maya selepas muncul dakwaan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Dalam senarai “Orang Sohor 2018”, tujuh ahli politik dimasukkan dalam senarai itu. Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor juga disenaraikan.

Selebihnya ialah ahli politik kerajaan, iaitu Perdana Menteri Dr Mahahir Mohamad, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan anaknya Nurul Izzah Anwar serta dua menteri – Syed Saddiq Abdul Rahman dan Mohamad Sabu.

Dua tahun sebelum ini, tiada ahli politik memasuki senarai itu.

Bagi kategori “Topik Paling Sohor 2018”, kebanyakan orang mencari perkataan "PRU14" diikuti dengan "Momo Challenge" dan "Icerd".

Laporan Carian Google 2018 diterbitkan oleh Google Trends yang menjejak carian di Google Malaysia pada tahun ini.