Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan beliau sudah memberi tarikh untuk Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, untuk hadir mengangkat sumpah.

Bagaimanapun beliau berkata, Yamani Hafez mempunyai masa untuk berbuat demikian sehingga 15 Jan tahun hadapan dan boleh melakukannya sebelum tarikh berkenaan.

"Jadi, dia kena datanglah ke parlimen (angkat sumpah) sebelum (tarikh) itu.

"Tarikh sudah pun diberikan kepadanya," katanya di parlimen, petang tadi.

Yamani Hafez ialah anak kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Dia memenangi kerusi Sipitang dengan kelebihan 852 undi pada PRU ke-14 lalu. Bagaimanapun Yamani Hafez meninggalkan negara ini dan belum pulang sehingga kini.

Mohamad Ariff berkata, sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang maklum balas daripada anggota parlimen itu untuk hadir mengangkat sumpah.

Sebelum ini media melaporkan Setiausaha Pemuda Umno Sabah Bahrin Abdul Karim yakin Yamani Hafez akan hadir mengangkat sumpah sebelum tamat tempoh ditetapkan.

Yamani Hafez

Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, seseorang anggota parlimen yang dipilih perlu mengangkat sumpah jawatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama.

Hari pertama persidangan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 ialah pada 16 Julai lalu yang menyaksikan 220 daripada 222 anggota Parlimen mengangkat sumpah jawatan.

Dua anggota Parlimen yang tidak hadir mengangkat sumpah pada hari pertama pembukaan itu ialah Muhyiddin Yassin (Pagoh) yang bercuti sakit, dan Yamani Hafez yang tidak mengemukakan sebarang alasan.

Ditanya tarikh yang diberikan untuk Yamani Hafez mengangkat sumpah, Mohamad Arif berkata, beliau tidak dapat mengingatinya.

"Kena semak (tarikh angkat sumpah...tapi rasanya lebih elok tanya dia bila dia (Yamani Hafez) nak datang," katanya yang ditemui selepas merasmikan siri Syarahan Umum Yang Dipertua Dewan Rakyat bertajuk Parlimen dan Masyarakat Awam: Suara Rakyat?

Lihat Komen
ADS