Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M harap Proton-Geely keluarkan kereta Malaysia sebenar
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 11:56 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berharap kerjasama di antara Proton Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Proton-Geely) akan mengeluarkan kereta Malaysia sebenar pada masa depan.

Katanya sejak menjalin kerjasama dengan Geely, Proton mencatat kemajuan termasuk pelancaran kenderaan utiliti sukan pertamanya, X70.

"Pastinya kereta ini bukan direka bentuk dan dibina oleh Proton secara keseluruhan tetapi untuk mempercepatkannya berada di jalan, anda perlu lakukan ini untuk menjimatkan masa,” katanya selepas pelancaran empat varian model kereta itu di Kuala Lumpur, malam ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong.

Bagaimanapun, Mahathir berkata Proton perlu terus berkembang maju dan turut serta dalam membangunkan model baru.

Perdana Menteri berkata mungkin kerjasama itu boleh bermula dengan reka bentuk dilakukan di Malaysia, selepas itu ke peringkat membina modelnya dan lain-lain yang akan menyaksikan 100 peratus kereta Malaysia yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia dengan sokongan Geely.

"Saya agak yakin pada masa depan kita akan menyaksikan lebih banyak reka bentuk dan model yang boleh dibanggakan oleh Malaysia," katanya.

Titik tolak buat Proton

Mahathir juga yakin pengenalan X70 akan terus dapat meningkatkan daya pemulihan Proton.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd Syed Faisal Syed Ali Rizal Albar optimis X70 akan menjadi “titik penyelamatan bagi Proton”.

"Ini merupakan titik perubahan dengan nasib Proton akan berubah kepada lebih baik," katanya.

Menyifatkan X70 sebagai kereta pertama Malaysia bercirikan Internet sepenuhnya, Syed Faisal berkata kereta itu dilengkapi teknologi komunikasi mudah alih, Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu Termaju yang memberikan pelbagai fungsi pengguna serta keupayaan untuk terus berhubung melalui peranti mudah alih.

"Dengan dilengkapi kad eSIM, sistem ini dimuatkan dengan empat aplikasi seperti radio dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara," katanya.

Kereta itu berharga RM99,800 bagi pacuan dua roda (2WD) standard, RM109,800 bagi 2WD eksekutif, RM115,800 bagi pacuan semua roda eksekutif dan RM123,800 2WD premium.

Harga itu turut terpakai bagi Sabah dan Sarawak.

Bersempena dengan pelancaran itu, Proton turut menawarkan pakej tambah nilai yang turut termasuk alat ganti dan kos buruh percuma untuk servis pertama serta kos buruh percuma untuk lima kali servis berjadual bagi 100,000 kilometer atau lima tahun.

Proton juga menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.34 peratus setahun bagi pembeli yang layak, jaminan tanpa mengira jarak perbatuan selama lima tahun dan data internet 1gigabit sebulan selama lima tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS