Masyarakat Islam di Australia marah apabila Peguam Negara Australia Philip Ruddock menyeru satu perhimpunan solat Aidiladha di sebuah masjid di Sydney, bahawa mereka "mesti menghormati undang-undang negara".

"Saya fikir adalah penting untuk memperakui apabila anda rakyat Australia, seperti semua yang lain, anda mempunyai tanggungjawab menghormati undang-undang negara ini," Ruddock memberitahu perhimpunan di Masjid Lakemba di Sydney barat.

"Jika kita dapat hidup dalam sebuah masyarakat toleran, kita perlu menunjukkan sikap toleran kepada orang lain," katanya.

Keysar Trad, pengasas Persatuan Persahabatan Islam Australia berkata, kenyataan Ruddock membayangkan "penghinaan" tersirat terhadap masyarakat Muslim seramai 300,000 orang di Australia.

"Beliau tidak mempunyai rasa hormat mendalam terhadap rakyat Australia dari latarbelakang Islam seperti sepatutnya," Keysar disebut sebagai berkata dalam laporan akhbar"The Australian.

Ruddock mempertahankan komennya dengan berkata,beliau membuat kenyataan itu selepas dua penceramah termasuk presiden Persatuan Islam Lebanon, Ahmad Kamaledine, membuat ucapan berbau politik.

Menurut Bernama, lebih 10,000 menunaikan solat itu di Lakemba, manakala 2,000 orang mendengar khutbah Sheik Mohammed Omran di JJ Holland Park di Melbourne barat laut, lapor harian itu.

"Agama adalah perkara nombor satu penting dalam kehidupan kita dan segala yang lain di tempat kedua," kata Sheik Omran. "Malah nyawa anda."