Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemimpin keluar Umno Sabah: Musa Aman senyum saja

Bekas pengerusi Umno Sabah, Musa Aman hanya tersenyum tetapi tetap membisu apabila diminta oleh media untuk mengulas tindakan beberapa pemimpin dan wakil rakyat negeri itu yang meninggalkan parti berkenaan secara berama-ramai, semalam.

Musa hari ini tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8.50 pagi untuk pengurusan kes dengan berpakaian segak tetapi bertongkat.

Bekas ketua menteri itu berdepan 35 tuduhan yang dikenakan oleh SPRM pada 5 November lalu atas dakwaan menerima lebih AS$63 juta berhubung kontrak konsesi balak.

Memandangkan pihak pendakwaan belum menyerahkan sebahagian lagi dokumen yang berkaitan dan pihak pembelaan belum membuat keputusan sama ada mahu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, Hakim Rozina Ayob mengarahkan peguam Musa untuk memuktamadkan keputusan mereka dalam masa dua bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari tahun depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya dan memerintahkan pihak pembelaan untuk memfailkan permohonan mereka pada tarikh baru itu.

Selepas menandatangani dokumen mahkamah untuk melanjutkan ikat jaminnya, Musa keluar dari mahkamah pada jam 9.45 pagisambil diiringi oleh pengawal peribadi dan peguamnya.

Ketika dihampiri oleh media yang memintanya mengulas tindakan pemimpin dan wakil rakyat Umno Sabah yang bertindak meninggalkan Umno, mahupun status atau kedudukan semasanya dalam parti, Musa terus tidak menjawap.

Umno Sabah dilaporkan lumpuh selepas hampir semua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk pengerusinya Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Tindakan keluar parti itu turut melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator.

Lima anggota Parlimen itu ialah Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Rahim Bakri (Kudat), katanya.

Sementara lapan Adun berkenaan pula adalah Masidi Manjun (Karanaan), Japlin Akim (Usukan), Musbah Jameh(Tempasuk), Gulam Haidar Khan (Kawang), Mohd Arifin Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Nizam Titingan (Apas).

Turut berbuat demikian adalah senator Umno iaitu Ghani Yassin dan John Ambrose.

Umno bahagian yang kehilangan ketuanya termasuk yang memangku ialah Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kimanis (memangku), Beaufort, Sipitang, Keningau, Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Silam, Semporna, Tawau, Libaran, Putatan dan Ranau.

Baki empat lagi bahagian iaitu Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan belum menyatakan pendirian mereka.

Lihat Komen
ADS