Kjaan negeri tubuh j/kuasa khas pembinaan Sekolah Sin Chung
Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membantu dan memantau kerja-kerja pembinaan bangunan baru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Chung di Permatang Sintok di Kepala Batas.
Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membantu dan memantau kerja-kerja pembinaan bangunan baru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Chung di Permatang Sintok di Kepala Batas.
Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, jawatankuasa itu akan memastikan urusan dan kerja-kerja pembinaan bangunan baru sekolah terbabit di kawasan berhampiran tapak sekolah sedia ada siap dalam tempoh enam bulan.
Katanya, jawatankuasa itu dianggotai Exco Pendidikan negeri Datuk Dr Toh Kim Woon, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Ooi Chuan Aik, wakil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), wakil Pejabat Daerah Seberang Perai Utara, Pengarah Pelajaran negeri dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Mark Ooi.
"Jawatankuasa itu akan melaporkan perkembangan semasa kepada saya bagi memastikan semuanya berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar di Pulau Pinang. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan pengurusan sekolah itu segera membina bangunan sekolah baru bagi memastikan pembelajaran murid-murid di situ tidak terjejas.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas "pertelingkahan" antara pihak pengurusan sekolah dan pemaju, Syarikat Motif Era Sdn Bhd, berhubung arahan merobohkan sekolah itu bagi memberi laluan kepada pembangunan projek bercampur di situ.
Kutipan RM1.2 juta
Menurut laporan Bernama, Koh berkata, selain itu kerajaan juga telah menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Pulau Pinang dan Alumni Sekolah-sekolah Cina Pulau Pinang menganggotai jawatankuasa khas berkenaan.
Katanya, masalah kewangan bagi membina bangunan baru sekolah itu tidak lagi timbul kerana setakat ini hampir RM1.2 juta telah dikutip menerusi sumbangan peribadi, syarikat dan organisasi.
"Lembaga sekolah telah mengutip sebanyak RM450,000 manakala Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 dan kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 serta MCA dan Gerakan masing-masing akan melancarkan kempen kutipan derma dengan sasaran RM500,000," katanya.
Beliau berkata, bagi meyakinkan orang ramai mengenai pengurusan sumbangan wang, lembaga pengurus sekolah juga diminta melantik juruaudit bebas bagi mengesahkan penyata kewangan.
Mengenai tindakan pemaju yang dikatakan menghalang kerja-kerja pembinaan bangunan baru itu dijalankan kerana terpaksa melalui jalan di tanah mereka, Koh berkata beliau telah mengarahkan MPSP mengambil tindakan sewajarnya.

