"Undurlah," kata salah seorang exco Pemuda Umno kepada presiden parti itu Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Gesaan itu dibuat Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali dengan nama Papagomo dalam dunia blog.

Menariknya, Papagomo sendiri mengaku Ahmad Zahid ialah tokoh yang rapat dengannya dan dia sendiri kagum dengan semangat presiden Umno berkenaan.

"Tetapi presiden sendiri harus ada rasa tanggungjawab dalam hal ini, kerana hari ini kepentingan parti mengatasi segala-galanya," kata Papagomo dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid terus berdepan tekanan dalaman hari ini apabila satu demi satu pemimpin dan wakil rakyat Umno mengumumkan keluar dari parti itu.

Ia termasuk penghijrahan besar-besaran di Sabah kelmarin. Malah beberapa bekas menteri yang dulu begitu gigih mempertahankan Umno - dan Najib Razak - adalah antara orang yang menyertai gerakan berkenaan.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan, pula percaya masih ada "yang tidak kena" pada parti itu sehingga menyebabkan ramai pemimpinnya menjadi penyokong kerajaan.

Ingat Najib, Anwar

Tengah hari tadi bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula bersetuju dengan cadangan supaya parti itu mengadakan pemilihan baru dan ia perlu diadakan serta-merta.

Papagomo berkata Ahmad Zaid gagal mengukuhkan Umno sejak dipilih menjadi presiden walaupun anggota parlimen Bagan Datuk itu mengadakan siri jelajah ke negeri-negeri.

Katanya Ahmad Zahid melakukan siri jelajah itu bukan untuk mengukuhkan Umno sebaliknya menjadikan institusi parti sebagai perisainya.

Pembloh itu juga membandingkan keberkesanan Ahmad Zahid sebagai presiden Umno dengan Najib Razak.

"Saya ingat pada 2008 selepas PRU ke-12 Anwar Ibrahim giat berkempen nak menculik anggota parlimen BN.

"Najib yang waktu itu presiden parti begitu ligat mengepung anggota parlimen BN hinggakan seorang pun tidak berjaya diculik PKR sebaliknya Adun PKR dan DAP menjadi bebas dan menyokong BN hingga Perak berjaya diambil kembali.

"Hari ini situasinya lebih kurang sama dan Zahid gagal mengepung anggota parlimen Umno hingga ramai yang keluar dan akan ada lagi yang keluar parti," katanya.

Jalan terbaik untuk Umno sekarang, kata Papagomo, ialah Ahmad Zaid berehat secara sukarela.

"Jika tidak ia pasti akan memecah-belahkan Umno dengan desakan pengunduran daripada ketua-ketua bahagian dibuat kelak," katanya.