Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Rahman Dahlan: Ada masih tidak kena dengan Umno
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 5:28 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan yang namanya tidak berada dalam senarai pemimpin dan wakil rakyat Umno Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu secara beramai-ramai percaya tindakan rakan-rakannya itu adalah isyarat bahawa ada sesuatu yang masih tidak kena dengan Umno hari ini.

Malah dalam beberapa hantaran di Twitter, timbalan ketua Umno bahagian Tuaran itu berkata, hala tuju Umno masih terumbang ambing dengan banyak isyarat daripada pelbagai pemimpin atasan yang mengelirukan akar umbi.

“Hala tuju parti masih terumbang-ambing. Banyak isyarat yang datang dari pelbagai pihak atasan mengelirukan akar umbi.

“Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap ke tengah. Enam bulan berlalu, Umno masih tidak mampu untuk memberi isyarat yang jelas ke mana halatuju parti ini mahu dibawa,” ciapnya.

Walaupun tidak menjelaskan peristiwa dan kejadian mana yang dirujuknya, namun sejak kebelakangan ini ada pihak yang mendakwa tindakan pemimpin atasan Umno, khususnya presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi yang cuba berbaik dengan pemimpin PAS menimbulkan keresahan di kalangan ahli Umno di Sabah.

Menuding jari

Sabtu lalu, Umno bergandingan dengan PAS bagi menjayakan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (Icerd) di Kuala Lumpur.

“Dalam konteks Sabah, keunikan politiknya gagal dibaca oleh Umno pusat pasca PRU14. Tidak ada usaha libat urus atau engagement yang konsisten dan substantif sejak PRU14.

“Sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, saya tidak terkejut dengan tindakan pemimpin-pemimpin kanan Umno Sabah yang keluar parti.

“Saya tidak salahkan mereka. Itu hak mereka apabila mereka sudah menimbang semua aspek politik Sabah.

“Selepas ini akan ramai menunding jari, namun tidak ramai yang akan mengaku bahawa kecelaruan hala tuju Umno adalah salah satu penyebab kenapa pemimpin Umno Sabah membuat keputusan untuk keluar dari Umno,” katanya.

Umno Sabah lumpuh

Umno Sabah hari ini lumpuh selepas hampir semua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk pengerusinya Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Hajiji yang juga Adun Sulaman, berkata semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa hari ini melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator, kata Hajiji yang juga adalah ketua Umno Tuaran.

Lima anggota Parlimen itu ialah Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Rahim Bakri (Kudat), katanya.

Selain Hajiji, lapan lagi Adun ialah Masidi Manjun (Karanaan), Japlin Akim (Usukan), Musbah Jameh(Tempasuk), Gulam Haidar Khan (Kawang), Mohd Arifin Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Nizam Titingan (Apas).

Dua senator Umno yang keluar parti pula ialah Ghani Yassin dan John Ambrose.

Umno bahagian yang kehilangan ketuanya termasuk yang memangku ialah Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kimanis (memangku), Beaufort, Sipitang, Keningau, Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Silam, Semporna, Tawau, Libaran, Putatan dan Ranau.

Baki empat lagi bahagian iaitu Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan belum menyatakan pendirian mereka.

Lihat Komen
ADS