Jambatan tenggelam resahkan 300 Orang Asli Kpg Aring 5
Lebih 300 penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5 di Gua Musang, terputus hubungan apabila jambatan merentasi anak Sungai Aring di kampung berkenaan tenggelam pagi ini berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas.
Mereka tidak dapat melalui jambatan itu mulai pukul 7.00 pagi apabila paras air sungai yang meningkat naik dan menenggelamkan jambatan itu sedalam kira-kira satu meter.
Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang, berkata, setakat ini belum ada kediaman kaum itu di tenggelami banjir kerana kebanyakan rumah dibina di kawasan tinggi selain hanya jambatan serta jalan sahaja yang terjejas.
Bagaimanapun, kata beliau, ada penduduk yang tinggal di kawasan rendah mudah dinaiki air sudah diarahkan bersiap sedia untuk berpindah di kawasan selamat jika air sungai terus naik dalam masa terdekat ini.
Kebanyakan penduduk terkejut apabila melihat jambatan yang menjadi penghubung penting ke kampung itu tenggelam dan menjejaskan hasrat mereka peergi ke bandar ini untuk membeli barang keperluan.
"Jambatan itu kerap tenggelam apabila berlaku hujan lebat dan penduduk juga tidak mempunyai jalan lain untuk pergi ke bandar ini atau ke bandar lain termasuk Kuala Krai," katanya.
Mohd Fazli Mamok, 32, pula berkata, kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air sudah membina bangsal perpindahan di puncak bukit kampung itu supaya lebih selamat apabila berpindah nanti.
Beliau berkata, barang penting termasuk pakaian juga sudah dipindah ke bangsal itu supaya tidak ada masalah apabila berlaku banjir dan mengambil iktibar daripada banjir pada tahun-tahun lepas.
"Hanya yang lebih penting bagi penduduk ketika ini ialah bekalan makanan berikutan kesukaran penduduk untuk membeli barang keperluan setelah terputus hubungan," katanya.
-- Bernama

