BERITA Malaysiakini

Kes bunuh Jong-Nam: Keputusan dapat rakaman percakapan saksi, Selasa ini

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini menetapkan Selasa depan untuk keputusan notis usul yang difailkan tertuduh pertama dalam kes bunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, bagi mendapatkan salinan rakaman percakapan tujuh saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan peguambela, Gooi Soon Seng, yang mewakili tertuduh pertama, Siti Aisyah, 26, dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Pada 7 Nov lalu, pihak pembelaan bagi tertuduh pertama memfailkan notis usul itu bagi memohon mahkamah merintahkan pihak pendakwaan membekalkan mereka salinan rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat oleh tujuh saksi kepada polis.

Tujuh saksi tersebut ialah Ahmad Fuad Ramli, Lim Cheng Gam, Tomie Yoshio, Ng Wai Hoong, Dessy Meyrisinta, Raisa Rinda Salma dan Kamaruddin Masiod.

Permohonan pihak pembelaan dibuat mengikut Seksyen 51 dan 112 (2) Kanun Tatacara Jenayah.

-- Bernama