Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'10 lagi MP akan keluar parti jika Zahid tak letak jawatan'
Diterbitkan:  Dec 14, 2018 5:43 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Anggota Parlimen Larut Hamzah Zainuddin yang merupakan salah seorang daripada enam wakil rakyat Umno yang keluar parti hari ini berkata, 10 anggota parlimen rakyat yang lain akan mengikut jejak mereka sekiranya Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai presiden.

Jelas Hamzah, yang merupakan bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) 10 anggota parlimen itu akan berbuat demikian dalam tempoh 10 hari sekiranya Ahmad Zahid enggan meletakkan jawatan.

Bercakap mewakili lima rakannya yang lain, Berita Harian memetik Hamzah sebagai menyifatkan Ahmad Zahid gagal memikul tanggungjawab sebagai presiden parti.

“Kami berpendapat Ahmad Zahid gagal menetapkan hala tuju parti dalam keadaan sekarang dan wajar bagi beliau melepaskan jawatan.

“Ia juga berkaitan dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad Zahid menyebabkan ahli dan rakyat khususnya Melayu tidak yakin dengan kepemimpinan beliau untuk membawa Umno menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dipetik sebagai berkata.

Selain Hamzah, lima anggota parlimen Umno yang hari ini mengumumkan meninggalkan parti. Mereka ialah Anggota Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid; Anggota Parlimen Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad; Anggota Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Anggota Parlimen Sabak Bernam Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Anggota Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

Jelas Hamzah lagi, tindakan enam wakil rakyat berkenaan, termasuk dirinya menyatakan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad adalah untuk "kepentingan negara dan rakyat".

Hamzah bagaimanapun berkata mereka belum membuat keputusan sama ada akan menyertai mana-mana parti politik lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, buat masa ini mereka hanya mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan dan Umno boleh mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk memilih presiden dan barisan kepimpinan yang baru.

Lihat Komen
ADS