DAP buat laporan BPR terhadap Ali Rustam
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Melaka kerana mendakwa berlaku penyelewengan membabitkan dana tabung kebajikan yang ditubuhkan oleh Ketua Menteri untuk membantu pesakit miskin dan berkeperluan membiayai perbelanjaan perubatan dan hospital.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Melaka kerana mendakwa berlaku penyelewengan membabitkan dana tabung kebajikan yang ditubuhkan oleh Ketua Menteri untuk membantu pesakit miskin dan berkeperluan membiayai perbelanjaan perubatan dan hospital.
Laporan itu dibuat pada 4 Januari lalu. Ini merupakan laporan pertama ke atas pentadbiran Ketua Menteri Datuk Mohd Ali Rustam tahun ini dan yang kelima sejak 2004.
Dalam laporan tersebut, Lim mendakwa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyalahgunakan dana yang terkumpul di dalam tabung tersebut, membabitkan RM908,242.33 sejak 19 Disember 2001 untuk membiayai kos rawatan hospital ahli keluarganya.
Dalam salinan laporan kepada BPR yang dihantar kepada malaysiakini, Lim mendakwa tujuan asal penubuhan tabung kebajikan atas namanya Ketua Menteri itu ialah untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada pesakit miskin dan orang awam bagi membiayai perbelanjaan perubatan di hospital swasta atau kerajaan.
Tabung ini diselenggarakan oleh Southern Hospital yang kini dikenali sebagai Hospital Putra.
Bagaimanapun dakwa Lim, hasil siasatan yang dijalankan, didapati sepanjang tiga tahun tabung misteri ini berorperasi, lebih RM590,000 atau 65 peratus daripada dana berkenaan, telah digunakan untuk orang kaya bergelar datuk-datuk dan ahli keluarga Ketua Menteri Melaka sendiri.
'Ahli keluarga'
Dakwanya lagi, RM365,000 atau 40 peratus digunakan untuk membiayai kos rawatan isteri, anak-anak, abang ipar, ibu mertua, kakak dan allayaharmah ibu Mohd Ali. Manakala RM225,000 atau 25 peratus lagi digunakan untuk pesakit bergelar datuk ataupun isteri datuk.
Menurut Lim lagi, amat menghairankan mengapa ahli keluarga seperti isteri dan anak perlu mengambil kesempatan dalam tabung misteri ini dan menafikan hak orang miskin apabila rawatan perubatan memang diberikan secara percuma oleh kerajaan kepada ahli keluarganya selaras dengan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Melaka.
"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka tidak layak menerima bantuan perubatan berkenaan," kata Lim dalam laporan tersebut.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu lagi, perbelanjaan tersebut didakwa dibuat sejak 19 Disember 2001 hingga 31 Mac 2005.
Lim mendakwa, sumber wang tabung misteri ini berasal dari Umno Melaka sebanyak RM368,283.82 dan bakinya sebanyak RM 539,958.51 diperolehi daripada derma orang awam yang dipungut oleh Ketua Menteri Melaka.
Kepentingan awam
Oleh itu, dakwanya, isu ini ada hubungkait dengan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan berkepentingan awam kerana melibatkan tiga perkara penting:
* Sumber wang adalah daripada orang awam dan dikutip atas matlamat murni membantu orang miskin dan golongan tidak berada;
* Bantuan wang tidak dihulurkan semua kepada orang miskin dan golongan tidak berada sebaliknya kepada golongan berada bergelar datuk dan ahli keluarga YAB Ketua Menteri Melaka sendiri; dan
* Tidak ada sebarang pengumuman awam bahawa pesakit miskin boleh memohon bantuan atau kriteria kelayakannya sehingga orang awam hanya tahu tentang tabung misterinya selepas tiga tahun didirikan apabila didedahkan oleh DAP Melaka.
Setiausaha Agung DAP itu mendakwa, perbuatan seorang pegawai awam, yang melibatkan wakil rakyat dan ahli pentadbiran, yang didakwanya menggunakan wang awam yang dikutip atas tujuan membantu orang miskin, telah menyalahi peruntukan-peruntukan 10 hingga 15 dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997, khususnya seksyen 15.
Kesalahan sedemikian, katanya, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada 50 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dibawah seksyen 16.
Lim mendakwa, memandangkan 40 peratus tabung misteri awam ini diberikan kepada ahli keluarga Ketua Menteri Melaka, maka ia bercanggahan dengan matlamat penubuhannya dan ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa tertakluk di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Lim turut menyertakan bersama laporannya itu, dokumen-dokumen berkaitan dengan akaun kewangan dan penerima tabung berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.