Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Apa kata penceramah dalam senarai 'disekat' di TV, radio?

Ulama PAS Ahmad Dusuki Abd Rani memberi amaran kepada pihak yang terlibat dalam menghalang penceramah tertentu termasuk dirinya tampil di stesen TV dan radio seperti yang dispekulasikan melalui senarai nama yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Jika benar ada arahan (menyekat penceramah tertentu) ini, apakah yang memberi arahan ini tiada rasa sebesar zarah di hatinya perasaan takut terhadap balasan yang tersedia bagi mereka yang menghalang kerja kerja dakwah ini?

"[...] Jangan sampai setiap nama mereka yang terlibat dengan halangan dakwah ini mula disebut satu persatu di saat sujud penghujung malam mukmin itu," katanya.

Ahmad Dusuki berkata demikian sebagai mengulas spekulasi yang mengatakan terdapat senarai 10 nama penceramah yang disekat untuk tampil di stesen TV dan radio.

Selain Ahmad Dusuki, sembilan yang lain yang termasuk dalam senarai itu ialah Kazim Elias, Samsul Debat, Dr Riduan Tee, Abdullah Khairi, Norhafizah Muda, Azhar Idurs, Zamihan Mat Zain, serta peserta program Pencetus Ummah, PU Amin dan PU Syed.

Bagaimanapun, menteri agama Mujahid Yusof menafikan senarai berkenaan dikeluarkan pejabatnya.

Katanya, pejabatnya tidak mengamalkan sekatan terhadap penceramah tertentu hanya kerana tidak sebulu, sebaliknya lebih melihat tentang kandungan yang dibawa dalam ceramah atau kuliah.

Mujahid Yusof

Sumber di Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula menegaskan bahawa semua ketetapan berhubung penceramah yang tampil di TV atau radio adalah di bawah pengurusan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama.

"Perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama seperti cadangan atau pun keputusan akan datang daripada menteri hal ehwal agama, sebab mereka lebih tahu," kata sumber kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, sumber tidak dapat mengesahkan kesahihan senarai berkenaan.

'Kerja tangan nakal'

Dalam kenyataan sama, Ahmad Dusuki menganggap senarai berkenaan merupakan kenyataan dari "tangan-tangan nakal" yang ingin melihat reaksi dan tindak balas daripada masyarakat awam dan penceramah yang dikaitkan.

"Budaya baling batu sembunyi tangan' sebegini tidak wajar di teruskan dalam masyarakat awam ini, dibimbangi yang suka membaling itu terbaling dan terliuk-pikuk di sana nanti," katanya.

Sementara itu, penceramah lain yang dihubungi Malaysiakini memaklumkan mereka tidak maklum mengenai pengharaman tersebut.

Penceramah Dr Mohd Ridhuan yang mengakui hanya mengetahui mengenai spekulasi itu melalui media sosial tidak menganggap sekatan seumpamanya wujud.

"Saya secara peribadi tak tahu perkara itu dan saya tak fikir perkara itu berlaku kerana sekarang ini kerajaan sudah terbuka.

"Lagi pun bukan ada masalah dengan saya pun, saya bukan bawa ajaran sesat," katanya.

PU Syed

Juara program Pencetus Ummah, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syeh (gambar) pula berkata dia tidak kisah dengan sekatan itu.

Tambahnya, pada zaman sekarang, dia boleh bersiaran dengan pebagai bentuk media selain stesen TV dan radio milik kerajaan.

"Saya tak kisah jika disekat untuk ke udara di TV atau radio milik kerajaan atau swasta. Zaman sekarang siaran langsung kita boleh buat sendiri. Bila-bila masa dan di mana jua.

"Kenapa nak bersedih? Tenang-tenang saja," katanya lagi.

PU Syed juga tidak menolak sekiranya benar senarai itu wujud, sekatan ke atasnya disebabkan tindakannya menegur kerajaan.

"Saya disekat kerana tegur kerajaan, jika saya ampu kerajaan, nama saya takkan tersenarai.

"Sejak zaman BN saya akan tegur jika salah, dan saya tak takut! Mungkin mereka tak tahu bahawa ujian terhadap usaha dakwah para anbiya (nabi) lagi dahsyat sehingga ada yang dibunuh oleh kaumnya.

"Jadi apa yang berlaku ini hanya kemuncup yang melekat dan boleh dibuang begitu sahaja," tambahnya melalui perkongsian di laman sosial miliknya.

Lihat Komen
ADS