Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin berkata ahli Umno di Sabah menyambut baik pelantikan beliau sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang baru.

Bung Moktar dilantik menjawat jawatan itu selepas sebahagian besar pemimpin Umno Sabah mengumumkan meninggalkan parti.

Bung Moktar yang merupakan salah seorang daripada dua anggota parlimen Sabah yang masih bersama Umno menyifatkan tindakan pemimpin Umno negeri itu meninggalkan parti sebagai "satu kesilapan besar".

"Jadi (dalam) perjuangan ini, adalah menjadi kesilapan besar bagi semua pemimpin Umno kalau meninggalkan Umno dengan ahli-ahli di akar umbi terkapai-kapai. Tidak ada yang memimpin, tidak ada yang peduli.

"Sedangkan pada hari ini saya lihat ramai ahli di peringkat akar umbi menghubungi saya.

"Mereka amat senang hati bahawa saya memimpin mereka dan mereka katakan akan bertungkus-lumus memastikan kekuatan Umno (dipulihkan) semula," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Dua hari lalu, Umno Sabah dilaporkan lumpuh apabila pengerusi badan perhubungan negerinya Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi anggota politik bebas.

Mereka turut terdiri daripada lima anggota parlimen, sembilan anggota dewan undangan negeri (Adun) dan dua senator.

Antara yang terlibat ialah bekas menteri komunikasi dan multimedia Salleh Said Keruak dan bekas speakar Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.

'Keluar Umno tak selesaikan masalah'

Bung Moktar, yang mengakui Umno Sabah mempunyai masalah kekangan kewangan, berkata tindakan keluar parti tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi pemimpin berkenaan.

Beliau sebaliknya memberi contoh "kesetiaan" pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini merupakan parti pembangkang.

"Saya tak nampak kalau mereka keluar, mereka dapat wang. Jadi macam pembangkang (sebelum ini), dulu pun pemimpin-pemimpin PH ini ada yang menentang BN sampai 40 tahun tapi tak ada lompat parti.

"Pemimpin Umno ni, baru tujuh bulan (jadi pembangkang), ramai yang dapat kesenangan daripada Umno dan kerajaan (terdahulu), (sekarang) seolah-olah mereka telah kehilangan punca, kehilangan arah.

"Jadi bagi saya memang (mempunyai) kekangan sebab Umno tidak mempunyai kewangan seperti dulu. Tetapi kita maklumkan rakyat bahawa dalam kekalahan ini, kita kena berjuang menggunakan semangat yang tinggi," katanya.

Lihat Komen
ADS