ULASAN | Dulunya ia belayar dengan gah dan mewah.
Kalau mengikut perumpamaan terkini, ia laksana Equanimity. Ia kelihatan gah kerana nakhodanya menggelarkan dirinya sendiri sebagai seorang pahlawan.
Kini tanpa ramai yang menduga 'kapal' itu terumbang-ambing gara-gara anak kapal mula hilang arah dalam pelayaran. Berdepan dengan takdir umpama tengkujuh kapal itu semakin hampir untuk karam.
Untuk anak-anak kapal yang masih tersisa tidak banyak yang mampu mereka lakukan kecuali mencari jalan paling selamat. Cara paling mudah buat masa ini ialah belayar di sepanjang pantai saja.
Inilah kisah kapal bernama Umno. Bukan tidak ada juragan. Ada. Anak kapal yang masih setia ada juga. Tapi dalam ramai-ramai yang ada itu, beberapa daripada awak-awak itu menjadi dahagi.
Begitu cepat masa berlalu dan amat pantas politik berubah.
Masih terngiang-ngiang lagi amaran Najib Razak kepada rakyat Sabah pada Mei lalu - beberapa hari sebelum PRU ke-14 dilangsungkan. Bertempat di Dataran Bagandang dalam kawasan parlimen Beaufort beliau berkata:
"Zaman sekarang kita tak main kapal layar. Kita nak berlayar di lautan samudera, jadi kita nak kapal yang lebih moden.
"Kapal layar ini kecil, hanya parti kecil, yang bermain di tepi pantai sahaja. Kita (BN) ini parti yang besar, parti dari Perlis sampailah ke Sabah."
Bagi tempoh 10 hari
Sekarang orang kuat Umno Sabah dan Najib - Salleh Said Keruak namanya - pun menjadi sebahagian daripada awak-awak yang melompat keluar dari kapal itu.
Tidak cukup itu, tokoh bernama Pandikar Amin Mulia yang sebelum 9 Mei lalu berkhidmat sebagai speaker Dewan Rakyat turut meninggalkan Umno.
Lima anggota parlimen Umno dari Sabah turut mengisytiharkan diri keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.
Mereka ialah Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Rahim Bakri (Kudat).
Belum reda kisah kapal dihempas ombak Laut Sulu muncul pula bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan menyertai Bersatu selepas keluar Umno pada 1 Julai lalu.

Sehari selepas Mas Ermieyati menyertai Bersatu, lagi tamparan hebat tiba buat Umno apabila lima lagi anggota parlimennya bertindak keluar parti dan menjadi wakil bebas.
Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Hamzah Zainuddin yang dulunya menjadi anak kapal dalam kabinet Najib turut menjadi dahagi. Dia tidak keluar begitu saja, sebaliknya bekas menteri itu memberi amaran kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya meletak jawatan segera.
Baca Dr M: Kita terima orang Umno yang baik saja
Jika tidak, akan berlaku 'gelombang ketiga' iaitu kumpulan terbaru anggota parlimen Umno yang meninggalkan parti jika Ahmad Zahid kekal sebagai presiden dalam tempoh 10 hari akan datang.
Itu betul-betul dahagi. Sudahlah keluar parti, Hamzah memberi tempoh pula kepada bekas timbalan perdana menteri itu untuk berundur.
Ada seorang lagi dahagi masih dalam kapal Umno, iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Dia belum keluar, cuma dia mengeluarkan gesaan agar Umno mengadakan pemilihan parti serta-merta.
Jelaskan sekarang jika Umno terus mahu membelah badai dengan gah, mereka perlukan nakhoda bertauliah dan mendapat kepercayaan semua untuk mengemudi bahtera.
Atau jika tidak anak-anak kapal akan terus menjadi dahagi seorang demi seorang.
Dalam keadaan tidak banyak pilihan mereka diyakini akan mencari kapal yang lebih selamat untuk belayar. Jika tidak mereka terpaksa menanggung aib kerana menjadi awak-awak di atas kapal besar yang cuma berani belayar di laut cetek.
Kini Umno hanya memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenangi pada PRU lalu.
Bagaimanakah agaknya mereka mahu terus belayar kalau awak-awak yang ada tidak cekap, terhad dan dipandang penuh curiga?
Pilihan yang ada ketika itu ialah melabuhkan sauh. Sanggupkah mereka?
GRACE AISYAH KEDAYAN ialah bekas wartawan KiniTV.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
