K'jaan disaran tubuh badan pemantau audit prestasi menteri, timbalan menteri
Kerajaan disaran menubuhkan badan pemantau untuk melakukan audit dalaman bagi memastikan semua menteri dan timbalan menteri, Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan mematuhi piawaian urus tadbir yang baik.
Wakil Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) Norhayati Bidin ketika membahaskan pidato presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sini, hari ini berkata penubuhan badan pemantau itu bertujuan meningkatkan kompetensi dan kualiti anggota parti agar menjadi budaya kerja.
Norhayati yang juga Setiausaha Wanita Nasional Amanah berkata kerajaan perlu menyediakan garis panduan untuk memastikan tiada pemimpin atau individu lantikan politik dalam kerajaan menyalahguna kuasa sebagai contoh kontrak yang tidak telus, kronisme dan nepotisme.
"Aduan secara dalam talian perlu dilaksanakan supaya teguran dapat disampaikan kepada pihak yang dipertanggungjawabkan. Ini kerana 'good governance' dilaksanakan daripada pelbagai cara iaitu 'top down approach' dan 'bottom up approach'.
"AWAN yakin dengan terlaksananya 'good governance', ia akan dapat menyelesaikan banyak masalah berkaitan salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan kewangan yang berlaku di semua peringkat," katanya.
Sementara itu, Sharon Teo dari Johor Baharu berkata penubuhan Wanita Muda Amanah (WARDA) bukan untuk bersaing dengan sayap wanita.
“Kami sebagai salah satu sayap yang berdiri bersama sayap lain bagi menyampaikan visi dan misi parti," katanya.
Beliau berkata WARDA mencadangkan latihan kepimpinan dapat diberikan secara langsung, sistematik dan tersusun bagi melahirkan generasi kepimpinan berintegriti.
“Selain itu, kita mencadangkan agar pucuk kepimpinan Amanah dapat meluangkan masa bersama kepimpinan anak muda agar proses menjadi pemimpin dan politik tidak putus dan tersasar,” katanya.
Konvensyen itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam, yang pertama selepas parti itu menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, konvensyen bertemakan 'Menggalas Amanah, Membina Negara' dihadiri 1,000 anggota perwakilan dari 156 kawasan sah berdaftar serta kira-kira 3,000 pemerhati dari dalam dan luar negara.
-- Bernama

