Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gobind: Dulu kita minta rakyat tolak Umno
Diterbitkan:  Dec 16, 2018 11:36 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

DAP akan membawa isu kemungkinan penyertaan bekas pemimpin dan wakil rakyat BN - terutama Umno - ke dalam Pakatan Harapan (PH) ke mesyuarat PH dalam masa terdekat, kata Gobind Singh Deo.

Beliau yang juga timbalan pengerusi DAP itu berkata soal itu harus dibincang dengan teliti bagi menghormati mandat rakyat pada PRU ke-14.

"PH perlu menjaga kepentingan rakyat yang telah meletakkan kepercayaan kepada PH untuk membersihkan dan menyelamatkan Malaysia.

"Perkara ini akan diangkat dan dibincang dalam mesyuarat PH dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini sejumlah pemimpin dan 16 anggota parlimen Umno telah memutuskan untuk keluar parti itu baru-baru ini.

Khabar angin mengatakan mereka akan menyertai Bersatu - parti serpihan Umno - dan presidennya Muhyiddin Yassin menyatakan parti itu terbuka menerima "pemimpin Umno yang sudah insaf".

Pada 14 Disember lalu, bekas menteri Hamzah Zainuddin - salah seorang anggota parlimen yang keluar Umno - mendakwa seramai 36 anggota parlimen BN telah menandatangani surat sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berkata parti itu setakat ini menolak permintaan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu menyertai parti itu.

Dalam pada itu, Gobind yang juga menteri komunikasi dan multimedia menegaskan DAP sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Umno.

"Mereka telah menentang kami habis-habisan dalam PRU ke-14. Kita telah meminta rakyat menolak mereka dan rakyat menolak mereka dengan hasrat membina 'Malaysia Baru'.

"DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno. Muktamad," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS