Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan menasihatkan media agar tidak mensensasikan isu seorang lelaki mendakwa "hartawan" keturunan Lebanon, Elie Yousef Najem, sehingga masyarakat menganggapnya sebagai hero atau wira.

"Kamu membuatkan dia (Elie) sebagai hero... tolong jangan mainkannya di media," katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan daripada saksi berhubung empat daripada lima kes laporan penipuan yang dipercayai dilakukan oleh Elie. Salah satu kes beliau akan dibicara Jun ini.

"Kes ini masih disiasat dan ianya tidak dapat selesai dalam tempoh sehari apabila kes ini selesai saya akan memaklumkan kepada media," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku pencegahan jenayah bertajuk "Fight Crime: We Can Do It Together" di Kolej Antarabangsa KBU, Bandar Utama di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Bernama, sebanyak 10,000 naskhah buku itu akan diedarkan kepada umum dengan kerjasama polis, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan kolej KBU.

Elie, 45, yang mendakwa sebagai ahli perniagaan mendapat perhatian media dan mencetuskan kontroversi selepas beliau menyampaikan hasratnya menderma AS$275 juta (RM1.03 bilion) bagi membina pusat penyelidikan dan rawatan kanser di ibu negara, Sabtu lalu.

Elie mendakwa memiliki kekayaan bernilai AS$46 bilion (RM175 bilion) dan berkahwin dengan Farinnie Mohd Farid, 19, di Kedah dengan memperolehi sijil nikahnya daripada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK). Isterinya kini hamil tiga bulan.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri mengarahkan polis segera menyiasat lelaki itu berdasarkan aduan orang ramai.

Musa berkata, polis masih menunggu laporan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan agar tampil ke hadapan.

Ditanya kenapa polis belum menangkap Elie berhubung lima kes penipuan yang dituduh ke atasnya, Musa berkata polis masih mencari bukti untuk mensabitkan beliau dan siasatan masih dijalankan.