Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa masalah dalaman parti itu berpunca daripada 'orang dalam' yang bekerjasama dan memberikan maklumat kepada musuh. 

Beliau berkata oleh sebab itu ahli Umno kini lebih gemar melayani masalah dalaman berbanding menggunakan kekuatan untuk menyerang musuh dari luar.

“Kita lihat apabila Belanda menyerang Melaka, orang dalam yang beri maklumat.

"Bila Portugis serang Melaka, dalang dari dalam yang beri maklumat dan jual kedudukan. Bila British masuk, perjanjian Pangkor, kita tahu siapakah yang bekerjasama dengan British, ada orang dari dalam Istana. Bila Jepun masuk, kita lihat orang dalam juga yang menjual maklumat. Bila Komunis memerintah, orang dalam juga yang (jual) maklumat.

“Ertinya, permasalahan dalaman ini menunjukkan Umno ini dinamik dan kita lebih melayani masalah dalaman kita daripada bersama-sama untuk berkubu dan menggunakan peluru yang ada menyerang musuh daripada luar," katanya seperti dilapor Umno Online.

Zahid berkata demikian ketika berucap dalam program retreat Umno bahagaian Temerloh.

Menurutnya, anggota parti itu perlu belajar untuk reda menerima kekalahannya dan bukan memikirkan cara menyelamatkan diri sendiri apabila tewas.

"Dalam keadaan sekarang kita harus reda. Allah nak ajar kita tapi kita tidak pernah belajar. Dalam keadaan kalah dalam keadaan kecundang, masih ada yang berfikir yang penting bukan parti kita tapi macam mana aku nak menyelamatkan diri aku, nak elakkan diri aku daripada disiasat. Macam mana aku nak pastikan diri aku tidak dituduh.

“Ertinya kita tidak ada istiqomah sebab kita merasakan diri kita dulu perlu diselamatkan bukan soal parti," katanya.

Proses pembersihan

Umno baru-baru ini menerima tamparan hebat apabila sebahagian anggota parlimennya - bermula dari Sabah- mengumumkan keluar parti.

Keadaan ini menyebabkan parti Melayu itu kini memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu.

Tindakan tersebut antara lain dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno terhadap kepimpinan Zahid.

Sementara itu bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein didakwa menjadi dalang daripada tindakan keluar beramai-ramai itu.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikannya dengan mengatakan tuduhan tersebut telah dilemparkan sejak enam bulan lalu.

Menurut Zahid, kekalahan Umno pada PRU14 lalu merupakan suatu musibah, namun ada pengajaran di sebaliknya.

"Saya melihat, apa yang berlaku pada PRU-14, Allah menurunkan musibah kepada kita, Allah berikan suatu hidayah atau panduan kepada kita tapi untuk apa? Ini kifarah, apa makna kifarah? ‘What you give, this is what you get…’

“Saya bertanya kepada ulama termasuk di luar negara, takkan dari ramai-ramai yang saya mohon agar mereka doakan untuk kemenangan Umno dalam PRU-14 tidak dimakbulkan Allah.

"Mereka kata kepada saya ‘Tuan ini adalah satu proses pembersihan’,” ujar beliau.