Hujan lebat dan berterusan beberapa hari lalu di negeri Kelantan menyebabkan kawasan rendah khuhusnya di Rantau Panjang dan Pasir Mas mula dinaiki air, sejak semalam

Tinjauan Malaysiakini di Rantau Panjang semalam mendapati sekitar 10 kampung dilanda banjir di Rantau Panjang antaranya Kampung Jeram Perdah, Kampung Lanchang, Terusan, Siram, Jejawi, Putat Tujoh dan Tasek Bakong.

Kawasan tersebut merupakan perkampungan yang terletak berhampiran Sungai Golok yang kini paras airnya mula melimpahi tebing.

Bagaimanapun, sehingga jam 9 pagi ini, tiada sebarang pemindahan penduduk dilaporkan.

Seorang penduduk Nawi Mat Zain, 60, berkata, situasi semasa yang mana paras air mula melepasi anak-anak tangga rumah mula membimbangkan.

Namun katanya, dia sekeluarga masih belum berhasrat untuk berpindah dengan situasi berlaku sekarang.

"Setakat ini kita tak pindah, bimbang dengan rumah dan harta benda. Rumah di sini di tebing Sungai Golok. Kalau pindah, tinggalkan rumah risau ada orang pecah masuk.

"Pernah terjadi, tahun-tahun sudah. Jadi kita tak mahu berpindah terlalu awal," katanya yang tinggal di Kampung Jeram Perdah.

Tak terlalu cemas

Bagi Aishah Salleh, 51, dia dan keluarga sudah biasa dengan banjir yang melanda kampung mereka setiap kali musim tengkujuh.

"Tiap kali air naik kami risau juga, tapi sebab dah biasa tak terlalu cemas. Kawasan kampung ini memang antara kawasan yang mudah dinaiki air.

"Buat masa ini keadaan masih belum teruk, kita pun boleh duduk di rumah lagi. Tapi kalau air terus naik, kita tetap kena pindah ke pusat pemindahan juga," katanya.

Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my, menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang itu mencatatkan paras 8.84 meter (m) iaitu melebihi paras amaran iaitu lapan meter.

Bacaan paras air itu mengalami sedikit peningkatan berbanding petang semalam iaitu 8.82 meter, dan dijangka semakin meningkat berikutan hujan lebat sejak pagi tadi.

Bagaimanapun, paras air sungai yang lain termasuk di Gua Musang dan Kuala Krai berada pada paras normal.

Ketua Balai Polis Daerah Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim berkata, setakat ini hanya kawasan rendah berhampiran Sungai Golok mula dilanda banjir.

"Pihak bomba akan sentiasa memantau paras air dan mengingatkan penduduk supaya berpindah segera sekiranya paras air semakin tinggi.

"Penduduk di kawasan rendah hampir keseluruhannya kediaman mereka tinggi memandangkan sering dilanda banjir dan walaupun air mencecah lebih satu meter, mereka belum berpindah.

"Tetapi, sekiranya paras air semakin meningkat kita akan tempatkan mereka di pusat pemindahan berdekatan,” katanya.