PAS menganggap laporan yang mendakwa gerakan bawah tanah wujud di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai "sandiwara Umno untuk memburuk-burukkan Islam."

"(Ia) mengaitkannya dengan aktiviti di luar perlembagaan yang boleh menimbulkan ketakutan sebahagian rakyat terutamanya orang bukan Islam terhadap Islam," kata presiden PAS Datuk Fadzil Noor, dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak Ahad lalu, akhbar melaporkan pendedahan seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Wan Noor Hayati Wan Alias, yang mendakwa gerakan bawah tanah secara tersusun wujud di universiti-universiti tempatan dengan menggunakan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan dua pertubuhan tidak berdaftar, Hizbi Islami (HI) dan Markaz Siswazah Kelantan, bagi menanam sentimen membenci kerajaan.

Akhbar Mingguan Malaysia juga melaporkan, lebih 2,500 pelajar di lima IPT awam terbabit dalam gerakan itu menerusi pertubuhan tidak berdaftar. Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut nama-nama universiti terbabit.

"Pengaruh gerakan bawah tanah ini boleh dikatakan sedang berada pada tahap parah dan jika tidak dibendung segera boleh menjejaskan keselamatan negara dan perpaduan orang Melayu," kata satu sumber, yang tidak dinamakan, kepada akhbar itu.

Fadzil juga mendakwa "kebencian Umno kepada Islam semakin hari semakin teruk sehingga mereka menghina pendidikan Islam dan memperkecilkan usaha pembukaan sekolah Islam."

"Kini mahasiswa yang cenderung mengembalikan kegemilangan Islam menjadi mangsa," tambahnya.

Sementara menurut Berita Harian hari ini, Wan Noor Hayati mendakwa program anjuran PMI di UTM didalangi oleh ahli kumpulan HI yang menyokong PAS. Beliau juga mendakwa masjid di universiti itu digunakan sebagai tempat membincangkan gerak kerja dan perang saraf parti pembangkang.

Tindakan UiTM 'melampau'

Universiti itu kini sedang menimbangkan tindakan untuk membubarkan PMI jika siasatan mendapati persatuan itu terlibat dengan kegiatan antikerajaan.

Selain itu Universiti Utara Malaysia minggu lalu dilaporkan sedang menyiasat 10 pensyarah dan empat pelajar yang disyaki terbabit dengan gerakan bawah tanah di kampus itu.

Parti Keadilan Nasional pula hari ini menyifatkan tindakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memecat pensyarah dan membubarkan dua pertubuhan pelajar sebagai "melampau."

"Tindak balas oleh kedua-dua universiti (UiTM dan UTM) itu adalah melatah dan tidak diperlukan," kata naib ketua pemuda Low Chee Chong.

Naib canselor Prof Datuk Dr Ibrahim Abu Shah hari ini dilaporkan berkata 47 kakitangan universiti itu dikenakan tindakan disiplin. Empat puluh daripada mereka ditukarkan ke kampus cawangan, empat ditarik balik jawatan dan tiga lagi telah ditarik balik biasiswa.

Persatuan Usahawan dan Persatuan Mahasiswa Intelek telah dibatalkan pendaftaran sejak sebulan lalu.