Terjemahan DAP tidak akan melantik seorang pemangku pengerusi untuk mengambil alih tugas Karpal Singh yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat kemalangan jalanraya setahun lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, yang mengalami kecederaan serius di bahagian belakangnya dalam kemalangan pada 28 Januari itu, tidak dapat menghadiri majlis dan program parti, termasuk sesi perbincangan pucuk kepimpinan parti itu di Cameron Highlands hujung minggu lalu.

Juga tidak dapati dipastikan sama ada beliau akan dapat menghadiri Konvensyen Kebangsaan DAP yang dijadualkan pada 9 Mac depan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (foto) ketika dihubungi.

"Kami berharap dia dapat bersama kami," kata Lim,sambil menambah, Karpal bercuti selepas majlis perkahwinan anak perempuannya di Pulau Pinang dua minggu lalu.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan dilantik seorang pemangku pengerusi, Lim berkata: "Tidak perlu pada masa ini, ia akan diputuskan oleh jawatankuasa pusat parti."

"Beri lebih masa'

Setiausaha agung DAP itu berkata, keuzuran Karpal itu tidak menjejaskan urusan dan perjalanan parti.

Sambil mengambil contoh kecederaan yang dialami oleh pemain penyerang Englang, Michael Owen, Lim berkata pengerusi parti itu perlu diberi masa untuk pulih.

"Kita tidak boleh paksa beliau untuk 'turun padang', kita mahu beliau pulih terlebih dahulu, kalau tidak kecederaannya akan berulang," katanya sambil menambah, Karpal mendapat sokongan sepenuhnya dari semua kepimpinan DAP.

Jagdip anak lelaki Karpal memberitahu malaysiakini, bapanya semakin pulih daripada kecederaannya dan kini menjalani proses fisioterapi.

Proses pemulihan itu, tegasnya, memakan masa dan Karpal masih memerlukan bantuan apabila berjalan.

Menurutnya, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menziarah Karpal di Pulau Pinang awal minggu ini.

Selain urusan parti, Karpal juga tidak dapat hadir di Parlimen kecuali datang beberapa kali menghadiri sesi persidangannya.

Ditanya mengenai perkara itu, Pegawai Perhubungan Awam Parlimen, Ahmad Asri Zakaria berkata, tidak ada had tempoh cuti bagi ahli Parlimen sekiranya mereka mempunyai sebab yang sah atau kerana cuti sakit. Berita asal