Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lepas kritik Anwar, Latheefa digesa keluar parti

Bekas pemimpin pusat PKR, Latheefa Koya digesa keluar dari partinya selepas dilihat tidak sehaluan dengan keputusan-keputusan pucuk pimpinan parti tersebut.

Naib Pengerusi PKR Melaka, G Rajendran berkata Latheefa perlu keluar daripada partinya selepas pemimpin-pemimpin pujaan semakin hilang kuasa dalam partinya.

“Sejak Datuk Seri Anwar (Ibrahim) mengambil alih pucuk pimpinan PKR, Latheefa dilihat tidak selesa dan suka mengkritik partinya khususnya Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail).

“Nampaknya, beliau tidak selesa dengan beberapa pemimpin semakin hilang kuasa sehingga meluahkan rasa tidak puas hati dengan pelantikan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang didakwa mengamalkan sikap nepotisme dan kronisme,” katanya kepada Malaysiakini.

“Kalau dulu kebanyakan lantikan dari kem Azmin Ali tidak masalah. Sekarang dari kem lain kata kronisme dan nepotisme. Ini pemimpin jenis apa? Lagi baik keluar sahaja daripada PKR,” tegasnya.

Sambil menafikan pelantikan MPN tidak mengamalkan sikap kronisme dan nepotisme, Rajendran turut menyatakan pelantikan adalah mengikut kehendak akar umbi.

Di mana amalan nepotisme, kronisme?

“Sebagai contoh, di Melaka Halim Bachik dilantik sebagai pengerusi negeri Melaka selepas empat daripada enam cabang menyokong pelantikannya. Jadi, di mana ada amalan nepotisme dan kronisme?” Soalnya lagi.

Tambahnya, keputusan pemilihan PKR tidak boleh diambil sebagai kayu ukur. Ini kerana beberapa pemimpin tidak popular diperingkat kebangsaan tetapi menjadi kesukaan ramai di negeri.

“Biarlah, pucuk pimpinan menjalankan tugas. Kalau tak suka sila lah keluar. Kini, ada parti sedang mengutip ‘sampah’. Pergi lah ke parti lain. Biar parti reformasi kekal reformasi,” ujar beliau.

Terdahulu, Latheefa membidas parti itu yang didakwa mengamal sikap kronisme dan nepotisme dalam melantik pengerusi PKR negeri.

Ini termasuk pelantikan anak presidennya, Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Latheefa berkata, mengikut perlembagaan parti Presiden PKR Seri Anwar Ibrahim sepatutnya berunding dengan ketua-ketua cabang negeri sebelum sebarang lantikan dibuat.

"Pelantikan Nurul Izzah sebagai pengerusi negeri Pulau Pinang oleh presiden parti yang juga bapanya sangat tidak sesuai dan terbuka kepada tuduhan amalan nepotisme.

"Amalan melantik saudara terdekat dalam jawatan penting tidak sewajarnya wujud dalam sebuah parti reformis," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Lihat Komen
ADS