Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertubuhan Orang Asli desak MB Perak mohon maaf
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 9:20 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Sekumpulan pertubuhan dan gabungan Orang Asli di Perak mendesak Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang disifatkan menghina komuniti Orang Asli.

Kumpulan yang terdiri daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Jaringan Kampung Orang Asli Perak (JKOAP), Penghulu-penghulu Orang Asli Perak, Gerakan Orang Asli Perak dan Individu-individu Orang Asli Perak, tampil menjawab kenyataan Ahmad Faizal seperti dilaporkan oleh media sebelum ini.

Kenyataan tersebut turut mengandungi pautan ke laporan berita yang mengandungi kenyataan-kenyataan Ahmad Faizal yang dimaksudkan.

Antaranya ialah dakwaan bahawa Orang Asli malas bekerja dan gemar meminta-minta. 

Mengulas dakwaan itu, gabungan pertubuhan itu berkata, walaupun sebahagian besar Orang Asli adalah miskin, mereka tidak pernah menjadi peminta sedekah di kaki lima atau bandaraya.

“Selagi kami ada tanah adat, kami tidak akan menjadi peminta sedekah dan merempat di merata tempat, malah itulah sebabnya mengapa kami bermati-matian mempertahankan wilayah tanah adat daripada pembalakan pencerobohan orang luar.

“Sekiranya ada permohonan bantuan pun, ia lebih kepada permohonan kemudahan asas seperti jalan tar, bekalan air bersih, elektrik, sekolah dan rumah program perumahan rakyat termiskin (PPRT),” kata mereka.

Mereka turut menjawab kenyataan Ahmad Faizal berhubung pewartaan kawasan untuk Orang Asli.

Gambar hiasan

Kata mereka, alasan Ahmad Faizal yang bimbang pewartaan itu menjejaskan kawasan tempat tinggal komuniti lain bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak pada pilihan raya umum (PRU) lalu yang berjanji untuk melindungi dan mensejahterakan tanah adat, tanah perkuburan serta tanah (punca) rezeki Orang Asli.

Janji 38 manifesto PH yang antara lain berjanji untuk berusaha melaksanakan cadangan-cadangan daripada Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Adar Orang Asal/Asli yang disediakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2013, yang mana melibatkan syor pengiktirafan wilayah tanah adat Orang Asli.

Tambah mereka lagi, Ahmad Faizal turut membuat kenyataan bahawa istilah tanah adat tidak terkandung dalam undang-undang.

"Kenyataan itu tidak tepat kerana mahkamah telah mengesahkan bahawa Orang Asli mempunyai hak adat terhadap tanah mereka dari sudut undang-undang am (common law), biarpun istilah tanah adat Orang Asli tidak terkandung dalam undang-undang bertulis," kata mereka.

Pendekatan berbeza

Mereka turut menyangkal kenyataan Ahmad Faizal bahawa Orang Asli dikatakan bersubahat dengan aktiviti pembalakan, pemusnahan hutan, dan sindiket pemburuan haiwan liar.

“Orang Asli mempunyai hubungan simbiotik dengan hutan dan oleh sebab itu, kami akan sentiasa memastikan hutan dan kehidupan liar yang terdapat di dalamnya tidak terancam.

“Keprihatinan kami ini jelas dapat dilihat daripada bantahan dan laporan yang kami buat terhadap pembalakan, dan kegiatan haram seperti pencarian kayu gaharu dan pemburuan haram haiwan liar. Bagaimanapun, bantahan dan laporan kami tidak dipandang serius oleh pihak berwajib,” kata mereka.

Sementara itu, pada 10 Dis lepas, Ahmad Faizal yang juga merupakan Adun Chenderiang dalam sesi wawancara eksklusif bersama Malaysiakini menyentuh tentang kontroversi yang timbul antara dirinya dan komuniti Orang Asli di Perak.

Dalam wawancara itu, antara lain, Ahmad Faizal menafikan tidak prihatin pada komuniti Orang Asli.

“Saya nak sebut, kaum Orang Asli atau Asal ini paling dekat di hati saya, dan merupakan keutamaan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Tambah Ahmad Faizal, beliau mahu melakukan pendekatan yang berbeza bagi memajukan perkampungan Orang Asli di Perak, tetapi bukan dengan cara hanya memberikan apa sahaja permintaan mereka.

“Sewaktu jadi isu ini, tok batin di suatu kampung itu meminta agar kerajaan memberikan duit untuk dibina chalet supaya kawasan itu dapat dijadikan kawasan pelancongan.

“Saya katakan, kamu patut mulakan dahulu, kemudian apabila sudah ada orang datang, pastinya kerajaan akan bagi sokongan dan bantuan. Itu tak menjadi pertikaian lagi. Tapi anda perlu mulakan dulu.

“[...] Saya pergi di Kampung Semelor di Pengkalan Hulu, mereka telah buat kampung mereka dengan cantik, dengan chalet lima bintang di tepi sungai. Sangat cantik, dengan pokok buah yang ditanam. (Apabila sudah begitu), tentunya kerajaan hendak bantu," katanya.

Katanya lagi, setiap orang perlu mempunyai semangat untuk mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan dan bukan "sekadar mengharapkan semua benda datang bergolek".

“Ini yang saya cuba terapkan. Sebagai pemimpin hari ini, saya terpaksa cakap benda yang benar,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS