345 jemaah haji maut di Mina
Kira-kira 70 jemaah haji, kebanyakannya dari Asia Tenggara, terkorban semasa puluhan ribu jemaah haji secara serentak berpusu-pusu membuat ibadat melontar pada hari terakhir menunaikan Haji di Minai.
Kira-kira 70 jemaah haji, kebanyakannya dari Asia Tenggara, terkorban semasa puluhan ribu jemaah haji secara serentak berpusu-pusu membuat ibadat melontar pada hari terakhir menunaikan Haji di Minai.
Ketua rombongan haji Malaysia Datuk Dr Azmi Ahmad berkata sehingga ini belum ada laporan jemaah haji Malaysia terlibat dalam kejadian yang berlaku antara pukul 1 tengah hari dan 2 petang waktu tempatan (pukul 6 dan 7 petang waktu Malaysia).
"Ada laporan sebahagian daripada mereka yang terbunuh dan cedera terdiri daripada jemaah dari negara Asia Tenggara.
"Bagaimanapun kami belum dapat pastikan dari negara mana mereka berasal," katanya kepada Bernama di sini ketika operasi menyelamat mangsa masih dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Sementara itu kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi menyebut sehingga pukul 6 petang (11 malam waktu Malaysia) angka kematian adalah 70 orang, sementara televisyen Al-Jazeera melaporkan kematian sekitar 200 orang dan beratus-ratus cedera, manakala laporan Al-Arabiya pula menyebut angka kematian sebanyak 345 orang dan jumlahnya dijangka terus meningkat.
Kemungkinan tiada rakyat Malaysia terlibat kerana jemaah Malaysia telah diarah melakukan ibadat melontar pada waktu malam sahaja iaitu selepas pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) sedangkan kejadian berlaku selepas solat Zohor.
Dr Azmi berkata kerajaan Arab Saudi berjanji untuk mengeluarkan identiti mereka yang terbabit dengan segera selepas operasi menyelamat selesai.
Beliau sehubungan itu meminta waris dan keluarga jemaah haji di Malaysia supaya bertenang sementara pihak Tabung Haji mendapatkan laporan daripada pihak berkuasa tempatan.
Terdapat seramai 26,000 jemaah haji Malaysia menjalankan ibadat haji tahun ini.
Ini adalah insiden kedua pada musim haji ini yang menyaksikan jemaah haji terkorban.
Seminggu lepas, empat rakyat Malaysia adalah antara 76 jemaah yang terbunuh apabila sebuah hotel berusia lebih 30 tahun runtuh di Mekah.
Dr Azmi berkata Tabung Haji mempunyai pegawai yang bertugas secara bergilir 24 jam bagi menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah negara di kawasan berkenaan dan para pegawai berkenaan akan terus memantau keadaan.
Berikutan kejadian itu, Dr Azmi berkata jemaah Malaysia diarahkan supaya tidak melakukan ibadat melontar lebih awal.
"Mereka diminta melakukannya waktu Subuh di mana pada waktu itu kurang jemaah haji melakukannya," katanya.
Dr Azmi juga berkata kesemua mangsa terkorban dan cedera dalam kejadian rempuhan itu dibawa ke tiga buah hospital utama di sini -- Hospital Mina, Hospital Muissin dan Hospital Raja Faisal.
Rempuhan jemaah
Katanya Hospital Muassin dan Mina terletak tidak jauh dari tempat kejadian manakala hospital Raja Faisal kira-kira 4 km dari kawasan rempuhan berlaku.
Dr Azmi berkata pasukan perubatan yg diketuai Pengarah Perubatan Tabung Haji Dr Shuhaimi Ismail sudah dikerah untuk ke ketiga-tiga hospital itu bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.
Sementara itu, laporan televisyen tempatan Al-Arabia turut memaparkan visual keadaan di kawasan insiden itu yang dikatakan berlaku pada waktu puncak, di tingkat atas satu daripada tiga Jamrat bagi menunaikan ibadat melontar itu.
Keadaan di situ ketika kejadian memang sesak kerana majoriti jemaah haji yang berjumlah 2.3 juta memilih melakukannya sebaik selepas Zohor yang disifatkan sebagai waktu paling afdal.
Kejadian hari Khamis mengulangi peristiwa pada 2004 apabila kira-kira 250 jemaah haji maut akibat rempuhan, semasa cuba untuk membuat ibadat melontar, iaitu simbol kepada perbuatan memusuhi syaitan yang menjadi musuh manusia.
Menurut Dr Azmi, kemungkinan ada antara lima dan 10 orang jemaah Malaysia dilaporkan keluar untuk melakukan ibadah melontar selepas zohor ketika kejadian rempuhan di Jamrah berlaku.
Katanya mereka terdiri daripada jemaah yang berulang alik antara maktab kediaman mereka di Masjidil Haram dan tempat melontar di Mina yang jaraknya kira-kira 7 kilometer.
Beliau berkata pengurus maktab jemaah haji sudah diarahkan untuk mengenalpasti siapa diantara mereka yang dianggap tidak mengikut jadual melontar yang sudah ditetapkan.
Sementara itu jenazah mereka yang terbunuh dalam kejadian rempuhan di tempat melontar jamrah itu sedang dikumpul dan dipindahkan ke dalam empat buah kontena.
Seorang saksi Nazari Sharif, petugas Tabung Haji yang menyaksikan peristiwa itu berkata kontena yang digunakan itu berada kira-kira 400 meter dari tempat kejadian.
Menurut Nazari kontena itu sebelum ini digunakan untuk mengangkut air mineral bagi keperluan jemaah haji.
Katanya ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 1 dan 2 petang itu, beliau berada di tingkat bawah jamrah dan masih belum mengetahui apa yang berlaku sekalipun terdapat jemaah yang turun naik ke tingkat atas.
Beliau hanya menyedari sesuatu yang buruk berlaku apabila melihat beberapa ambulans masuk ke kawasan itu dan ratusan tentera Arab Saudi mengadakan kawalan, dan beliau segera mencari tempat yang agak tinggi untuk melihat kejadian itu dengan jelas.
"Pada waktu itu saya lihat banyak jenazah dibawa ke empat kontena berkenaan dan kotak-kotak air mineral dikeluarkan untuk menempatkan jenazah-jenazah itu, manakala yang cedera terus dibawa ke ambulans. Beberapa buah helikopter memantau keadaan dari udara," katanya.
Nazari menganggarkan lebih 200 mayat dibawa ke kontena tersebut.
Mangsa yang cedera dibawa ke tiga hospital iaitu Hospital Muassim, Hospital Mina dan Hospital Raja Faisal.
Nazari berkata kejadian itu berlaku apabila jemaah yang balik melontar merempuh jemaah yang hendak pergi melontar.

