Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebaik saja Nurul Izzah Anwar membuat kejutan apabila melepaskan jawatannya dalam parti dan kerajaan semalam, bertubi-tubi gesaan agar dia menarik balik keputusan itu tiba.

Ia tidak hanya terhad dalam kalangan rakan dalam PKR, malah turut membabitkan pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) serta sesetengah tokoh pembangkang.

Namun anggota parlimen Permatang Pauh itu tetap nekad dengan keputusannya itu.

Dan bagi menjawab semua gesaan itu, Nurul Izzah - anak kepada pasangan Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail - memberikan penegasan ringkas.

“Saya tersentuh, tetapi tidak (akan kembali),” katanya ringkas kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap desakan daripada 13 bahagian PKR Pulau Pinang yang memujuknya untuk terus memegang jawatan dalam parti.

Selain melepaskan jawatannya sebagai naib presiden PKR - yang diperoleh melalui undi anggota parti - Nurul Izzah, 38, juga meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah mendapat jawatan di peringkat negeri itu hasil lantikan Anwar selaku presiden parti.

Katanya langkah melepaskan jawatan tersebut dibuat kerana prinsip yang dipegangnya.

Nurul Izzah turut menyatakan beliau tidak lagi akan berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas sebarang kapasiti.

Selain Nurul Izzah, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim turut menolak pelantikannya sebagai pengerusi PKR Johor.

Beliau mendakwa proses pemilihan pemimpin di peringkat negeri sebagai tidak telus.

Lihat Komen
ADS