Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan Zahid luar biasa
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan presiden Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat sementara waktu dan menyerahkan tugasnya kepada timbalannya Mohamad Hassan sebagai sesuatu luar biasa.

Ketua Pemudanya, Rosewandy Saad @ Yaacob berkata, keputusan itu menggambarkan tindakan seorang pemimpin yang berjiwa besar yang akan diingati oleh seluruh rakyat khususnya anggota Umno dalam pembentukan polemik politik negara.

"Pemuda Umno Pulau Pinang hari ini mengucapkan terima kasih kepada Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu presiden Umno kelapan kerana telah mengambil pendekatan luar biasa apabila sudi mengundurkan diri dan berehat sementara waktu menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berharap semua pihak terutama pimpinan peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Sayap akan kembali memberikan kerjasama yang utuh kepada Mohamad dalam memastikan Umno pulih dan bangkit kembali demi meletakkan kepentingan rakyat dalam pembangunan agama, bangsa dan negara.

Sehubungan itu, Rosewandy berkata pihaknya berharap Mohamad segera meletakkan hala tuju untuk dijadikan sandaran kepada semua peringkat kepimpinan sayap dan akar umbi.

“Senario yang berlaku ketika ini, wajar dijadikan pengajaran buat semua anggota Umno bahawa pengorbanan itu penting demi kelangsungan sesebuah parti seperti Umno,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan Mohamad akan menjalankan tugas presiden susulan kemelut yang melanda parti itu dan berharap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan serta mahu kepimpinan di peringkat akar umbi memberi fokus kepada memperkukuhkan parti.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS