'Penggalian mampu selamatkan artifak prasejarah diancam projek empangan'
Baru-baru ini sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui artifak prasejarah di Gua Chawan di Lembah Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Namun projek Empangan Nenggiri yang bakal dibina berisiko mengancam artifak itu.
Susulan itu, proses penggalian akan dilakukan bagi menyelamatkan tinggalan artifak di tapak tersebut, kata Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli.
Beliau yang merupakan ketua penyelidik Projek Penyelidikan dan Ekskavasi Arkeologi Gua Chawan berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi menyelamatkan penemuan arkeologi di kawasan itu.
“Cara terbaik adalah menjalankan ekskavasi menyelamat yang mana segala tinggalan artifak dan ekofak kita boleh selamatkan dan diletakkan dalam stor penyimpanan sebelum dipamerkan di dalam galeri di samping pentarikhan tapak dan kebudayaan lampau boleh diperoleh hasil kajian tersebut," katanya kepada Malaysiakini.
Antara penemuan di kawasan itu adalah rangka berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun, dipercayai milik seorang perempuan remaja, berdasarkan tulang pelvis rangka tersebut.
Rangka itu ditemui pada 2 November lalu oleh penyelidik dari UKM, ahli arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN) dan penyelidik dari Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sebelum penemuan itu, isu pembinaan Empangan Nenggiri lebih bertumpu kepada penentangan komuniti Orang Asli yang tinggal di situ.
Mengulas lanjut, Zuliskandar berkata pihak yang terlibat dalam pembinaan Empangan Nenggiri sudah bersetuju untuk membina sebuah galeri di situ bagi menempatkan segala penemuan arkeologi tersebut.
Beliau berkata, galeri itu juga penting memandangkan pembukaan ladang di kawasan itu menyebabkan tapak tersebut terdedah kepada vandalisme dan kegiatan mengambil baja tahi kelawar.
Ia membawa risiko gangguan deposit tanah - terutama untuk lapisan kebudayaan Neolitik - dan kehilangan data arkeologi yang berharga, katanya lagi.
Katanya lagi, galeri tersebut dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tinggalan sejarah di situ, seterusnya membantu menggalakkan kegiatan pelancongan di tapak lain di sekitarnya yang tidak terjejas dengan pembinaan empangan.
“Kami juga akan membangunkan pelan tindakan arkeo-pelancongan atau pelancongan warisan di Hulu Kelantan untuk dicadangkan kepada kerajaan negeri," katanya lagi.

