Saya bukan 'Puan Kleptokrat' - Teo
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata beliau tidak akan melayan orang yang menghubunginya untuk meminta kontrak dan surat sokongan.
"Berhenti menghantar emel kepada saya untuk meminta kontrak. Kerana saya takkan (buat). Tolong jangan minta surat sokongan dari saya. Kerana saya tidak akan keluarkan sebarang surat.
"Kita benci Jho Low. Dan saya tidak ada niat untuk menjadi Puan Kleptokrat.
"Bukankah kamu mengundi Pakatan Harapan kerana kamu mahu sebuah kerajaan bersih?" Soalnya pada hantaran Facebook hari ini.
Hantaran itu menyertakan gambar emel dan surat yang dimaksudkan meminta Teo menyokong permohonan untuk projek kerajaan.
Surat itu meminta timbalan menteri untuk menyokong syarikat berkenaan dalam bidaaan tender membekal makanan ke sekolah-sekolah berasrama penuh di Kelantan.
Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mengumumkan menentang amalan tender secara langsung atau rundingan urus niaga di belakang tabir.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 9 Disember lalu ketika berucap di suatu majlis makan malam mengutip dana PH berkata penderma termasuk yang menyumbang ratusan ribu ringgit untuk membeli lelongan lukisan potret pemimpin tidak akan diberi layanan istimewa.
PH perlu bersih dari rasuah
"Saya ingin minta maaf kerana tiada layanan istimewa untuk anda. Jika mahu sesuatu dari kerajaan, caranya adalah bersaing menerusi tender terbuka. Jika tawaran bagus, anda mungkin mendapat (kontrak).
"Tetapi ia bukan kerana sumbangan anda malam ini. Ini kerajaan PH, kami perlu pastikan setiap yang dilakukan bersih daripada rasuah. Tiada cash is king dalam PH," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Romly Ishak didakwa menulis 'surat tender katering'.
Bagaimanapun, Romli berkata surat yang ditulisnya itu bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana pembida gagal mendapatkan kontrak tender berkenaan.
Surat yang ditulis itu dicetak menggunakan kepala surat Pejabat Timbalan Perdana Menteri ditujukan kepada Pejabat Menteri Pendidikan dan untuk perhatian setiausaha politik menterinya, Nizam Morad.

