PRK Cameron Highlands ujian besar pertama buat MB Pahang
PRK Cameron Highlands yang bakal berlangsung bulan depan bakal menjadi ujian besar pertama Menteri Besar Pahang merangkap pengerusi BN negeri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ia selepas pemangku Pengerusi BN Mohamad Hasan mengumumkan Wan Rosdy sebagai pengarah PRK itu, hari ini.
Mohamad berkata, ia akan dipantau Naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden Ismail Sabri Yaakob.
Ia berbeza dengan tradisi sebelum ini di mana timbalan presiden Umno biasanya akan mengetuai kempen pilihan raya kecil.
Beliau berkata lagi, keputusan itu memandangkan Wan Rosdy juga Ketua Bahagian Umno Cameron Highlands yang lebih memahami keadaan di kawasan parlimen itu.
"Jadi kita putuskan Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengarah PRK Cameron Highlands. Ismail Sabri akan bertindak sebagai pemantau dan akan bantu dari segi strategi dan jentera," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga mengumumkan kawasan parlimen itu akan kekal ditandingi MIC seperti sebelum ini.
“Kita masih hormati susunan dan persetujuan, dan terpulang pada Presiden MIC untuk calonkan siapa," katanya lagi.
Kemenangan Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh pada PRU lalu dibatalkan selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.
SPR menetapkan 12 Januari untuk penamaan calon, 22 Januari untuk hari mengundi awal dan 26 Januari untuk hari mengundi.
Cameron Highlands merupakan kerusi tradisional MIC yang dimenangi sejak 2004. Pada PRU ke-14 C Sivarraajh mengalahkan M Manogaran (DAP) dengan majoriti 567 undi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata BN akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi berbincang tentang PRK itu.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengulas kelantangan bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin dalam menegur pemimpin parti.
Menekankan keterbukaan Umno dalam pandangan berbeza, beliau berkata mesyuarat hari ini tidak membincangkan perkara itu.
“Kita tidak berbincang pasal Khairy. Kita hanya bincang mengenai strategi bagaimana Umno hendak menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menjadi pembangkang yang efektif,” katanya.

