Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak permohonan isteri ketua ajaran sesat Ayah Pin atau Ariffin Mohamad bagi memulakan prosiding terhadap dua pegawai Pejabat Tanah Daerah Besut kerana menghina satu perintah mahkamah pada Jun tahun lalu.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop setelah meneliti penghujahan lisan peguam, Haris Mohamed Ibrahim, yang mewakili isteri Ayah Pin, Che Minah Remeli, 58, yang memohon perintah komital terhadap kedua-dua individu itu, pada 8 Januari lalu.

Che Minah yang tidak hadir di mahkamah semalam, mengemukakan permohonan itu terhadap Pentadbir Tanah Daerah Besut, Datuk Wan Zahari Wan Ngah dan Penolong Pentadbir Tanah Besut Mohamed Iskandar Muhammad Aziz yang didakwa melakukan satu penghinaan terhadap perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 21 Jun tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, pada tarikh itu Mahkamah Tinggi membenarkan Che Minah membuat semakan kehakiman berhubung notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Besut yang bertarikh 28 April tahun yang sama.

Dengan itu, mahkamah memberikan kebenaran kepada Che Minah iaitu pemilik tanah seluas 2.2 hektar di perkampungan "kerajaan langit" Ayah Pin di Batu 13, Hulu Besut membuat permohonan supaya tiada sebarang tindakan diambil di kawasan itu.

Permohonan semakan itu dibuat adalah untuk menentukan sama ada notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Besut itu sah atau sebaliknya.

Ahmad dalam ulasan ringkas penghakimannya berkata setelah menimbang hujah-hujah yang dikemukakan, mahkamah mendapati bahawa pihak pemohon gagal mensabitkan kedua-dua individu terbabit kerana melanggar perintah mahkamah.

Ini kerana pihak pemohon gagal mengemukakan bukti bahawa perintah mahkamah itu telah diserahkan terus kepada mereka.

"Bagi memohon memulakan prosiding pengkompitan, salinan perintah mahkamah kepada individu adalah penting. Dalam kes ini, mahkamah mendapati tiada bukti bahawa kedua-dua individu itu menerima perintah mahkamah berkenaan," katanya.

Pada 31 Julai tahun lalu, Pejabat Tanah Besut merobohkan beberapa bangunan dan struktur binaan termasuk replika gergasi di perkampungan Ayah Pin itu.

Sejak perkampungan "kerajaan langit" itu diserang pada 2 Julai tahun lalu oleh beberapa individu, Che Minah dan suaminya Ayah Pin, masih gagal dikesan sehingga sekarang.