Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menjangkakan rancangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memperbaharui silibus pengajaran di sekolah akan berdepan cabaran yang hebat.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mahathir yang ingin silibus sekolah ditukar bagi memastikan pelajar boleh menguasai semua mata pelajaran penting dan membuka peluang mereka untuk diambil bekerja.

Anggota parlimen Iskandar Puteri itu juga menyeru semua rakyat Malaysia memberikan sokongan terhadap rancangan perdana menteri itu.

"Pengumuman Mahathir untuk merombak silibus sekolah bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam subjek penting akan menjadi salah satu cabaran yang paling besar buat rakyat Malaysia.

"Pembaharuan kurikulum sekolah agar sekolah kebangsaan mengajar semua subjek penting akan sangat berguna kepada pelajar. Maka ia perlu mendapat sokongan daripada semua rakyat Malaysia yang mahukan masa depan yang lebih cerah dan terjamin untuk generasi akan datang.

"Sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersatu untuk menjadikan Malaysia hebat, dan bukannya menumpukan pada penipuan, ketakutan dan perpecahan di kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Lim, tiada alasan untuk Malaysia tidak menjadi negara bertaraf dunia dan menjadi contoh masyarakat pelbagai kaum.

Lim turut mengaitkan kunjungannya ke China dengan menyorot bahawa negara berkenaan menekankan pada modal insan sebagai sumber penting, yang boleh dicontohi Malaysia.

[Baca berita asal]