Jakarta memberi jaminan kejadian pencerobohan dan penculikan oleh angota tenteranya di Balai Ringin, Sarawak tidak akan berulang lagi.

Timbalan Menteri Luar Malaysia, Marzuki Yahya berkata hal ini disampaikan dalam maklum balas terhadap nota bantahan Wisma Putra mengenai peristiwa yang berlaku pada 11 Disember lalu.

"Indonesia menakui kesilapan mereka dan negara itu menyambut baik peringatan kami supaya menjamin hal ini tidak akan berulang lagi," kata Marzuki, petik laporan NST.

Semalam, NST Online melaporkan lelaki berpakaiam seragam tentera Indonesia mengacukan senjata ke arah lima orang pembalak berusia antara 15 dan 64 tahun itu sebelum mereka dipaksa menaiki kenderaan Toyota Hilux 'penculik' itu dan dibawa merentasi sempadan ke pos komando ketenteraan Indonesia di Sungai Enteli.

Pembalak itu mendakwa dikasari tentera berkenaan yang mengancam untuk menembak mereka jika cuba melawan.

Memetik laporan polis mengenai kejadian itu, NST Online berkata dua pembalak yang juga adik-beradik telah dilepaskan kemudian pada hari yang sama supaya dapat mengumpulkan wang tebusan sebanyak RM10,000 kepada penculik itu.

Menurut laporan itu lagi, mereka diberi amaran agar jangan membuat laporan kepada pihak berkuasa Malaysia atau rakan-rakan pembalak yang masih ditahan akan dihukum.

Bagaimanapun, mereka melanggar arahan tersebut dan pergi ke kem Angkatan Tentera Malaysia di Balai Ringin.