Umno Terengganu perlu bekerja kuat sepanjang masa seperti semasa Umno kalah dahulu, kerana banyak lagi agenda pembangunan yang perlu dilaksanakan, kata ahli jawatankuasa Umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata, wakil rakyat Umno negeri itu perlu bekerja kuat, tidak sombong dan mempunyai peribadi yang baik.

"Dengan kata yang mudah, (pemimpinnya di kalangan) orang muda, berpendidikan dan berakhlak sebab orang Terengganu di lain sikit, kita patut belajar dari sejarah," katanya..

Rosli merupakan antara tokoh politik Umno dari Terengganu yang agak lantang memperjuangkan hak negeri itu termasuk royalti minyak supaya dikembalikan semula.

Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa tinggi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Dalam perhimpunan agung Umno pada bulan Julai lalu, Rosli atau lebih dikenali dengan panggilan Pok Li mengkritik kerajaan pusat kerana lambat membayar wang ehsan kepada negeri Terengganu yang menurutnya menimbulkan masalah kepada rakyat negeri itu.

Rosli pernah kalah dalam pilihanraya umum 1999, namun empat tahun kemudian bangkit semula untuk mengalahkan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali di kawasan parlimen Dungun.

"Umno adalah parti yang lebih baik daripada PAS. Wakil rakyat Umno lebih baik daripada wakil rakyat PAS," katanya dalam pertemuan dengan malaysiakini baru-baru ini.

Dalam wawancara itu beliau juga bercakap mengenai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menurutnya sudah ditolak secara total oleh rakyat Terengganu. Ikutilah wawancara penuhnya dengan malaysiakini.

MK: Adakah PAS akan merampas semula Terengganu dalam pilihanraya umum akan datang setelah kalah teruk pada 2004?

RMH: PAS tidak akan berjaya merampas Terengganu, rakyat telah menolak parti itu secara total. Rakyat gembira dengan kerajaan negeri yang ada sekarang. Kita telah melakukan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat tanpa memilih bulu.

MK: Tetapi Terengganu merupakan kubu kuat PAS. Banyak pemimpin utama PAS dari Terengganu termasuk presiden, Abdul Hadi.

RMH: Memang tidak dinafikan Terengganu banyak melahirkan pemimpin PAS tetapi rakyat tidak menyokong parti itu. Ini bermakna mereka juga menolak Haji Hadi. Masih ingat lagi dengan fatwa Haji Hadi yang memecahbelahkan orang Islam di Terengganu?

MK: Tidak mungkinkah Hajil Hadi memulihkan semula kekuatan PAS seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor?

RMH: Hadi membawa kejatuhan PAS kerana beliau bukan pentadbir yang baik. Beliau menjadikan Iran sebagai model tetapi politik Iran dengan Malaysia jauh berbeza. Beliau mahu menarik generasi muda supaya menyokong PAS tetapi tidak berjaya.

Hadi dan pemimpin PAS lain terlalu ego dengan kuasa dan jawatan. Lalu rakyat menjadi mangsa dan ini menyebabkan mereka menyokong Umno dalam pilihanraya umum lalu.

MK:Bagaimana tahap sokongan rakyat Terengganu kepada PAS di negeri itu?

RMH: Kekuatan PAS hanya sekitar 10 hingga 45 peratus jika parti itu mempunyai isu tetapi tahap sokongan itu tidak kekal lama. Parti itu terlalu banyak kelemahan dan rakyat juga tidak yakin dengan pemimpin mereka.

MK: Bagaimanapun dengan Umno Terengganu, adakah berada dalam kedudukan yang cukup selesa menjelang pilihanraya umum akan datang?

RMH:Umno mempunyai kemampuan untuk memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum akan datang. Kita yakin rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada Umno kerana mereka tahu parti itu mengotakan janji dan bukan bercakap kosong.

MK: Adakah prestasi wakil rakyat Umno memuaskan sejak menjatuhkan PAS dua tahun lalu?

RMH: Secara keseluruhannya memuaskan. Tetapi perlu bekerja kuat sepanjang masa kerana banyak lagi agenda pembangunan yang perlu dibuat. Berkerja kuat seperti semasa Umno kalah dulu, itu lebih baik.

MK: Baru-baru ini Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa ada wakil rakyat Umno yang `cuai' sehingga menjadi rungutan di kalangan rakyat. Bagaimana perkara ini berlaku?

RMH:Mungkin kerana menang besar, masing-masing terlupa dengan amanah rakyat yang dipikul. Tetapi tidak semua begitu, hanya seorang dua sahaja. Semangat `wakil rakyat' Umno yang berkhidmat perlu ditanamkan semula.

MK: Ciri-ciri yang bagaimanakah patut ada pada wakil rakyat Umno Terengganu?

RMH:Bekerja kuat, tidak sombong dan mempunyai peribadi yang baik. Dengan kata yang mudah, (pemimpinnya di kalangan) orang muda, berpendidikan dan berakhlak sebab orang Terengganu di lain sikit, kita patut belajar dari sejarah.