Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Azwanddin gelar menteri perpaduan 'pariah Moorthy'

Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah tampil berucap di himpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Klang hari ini dengan menggunakan perkataan 'pariah' merujuk menteri perpaduan P Waythamoorthy.

Himpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 peserta itu diadakan bagi menuntut keadilan anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendesak pemecatan Waythamoorthy.

"Ini amaran kita. Ini bukan Waythamoorthy, ini pariah Moorthy.

"Nama dia kita tak ubah - pariah Moorthy. Kita minta pariah Moorthy undur segera," katanya disambut sorakan peserta himpunan.

Azwanddin menggunakan perkataan yang dianggap menghina kaum India itu sekurang-kurangnya tiga kali.

Azwanddin turut memberi peringatan agar kerajaan memenuhi tuntutan agar Waythamoorthy dipecat.

"Ini suara kita nak sampaikan kepada Putrajaya. Kita harap mereka ikut cakap kita dan penuhi tuntutan kita.

"Sekiranya tidak, jangan ingat Melayu tidak boleh bangkit," katanya.

Menyifatkan Muhammad Adib sebagai wira, Azwanddin berkata kematian anggota bomba berkenaan telah menyatukan orang Islam di Malaysia.

"Hari ini kerana Allahyarhamlah kita hadir berhimpun. Muhammad Adib satukan orang Islam untuk tunjukkan solidariti kita.

"Jangan cuba buat sesuatu yang bukan-bukan kepada orang Melayu dan orang Islam kerana kita akan bangkit dan lawan mereka," katanya.

Muhammad Adib merupakan anggota bomba yang cedera parah akibat dipukul perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa, Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis lalu, dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh.

Desak siasat Teresa Kok

Sementara itu, dalam ucapannya, Azwanddin juga mendesak pihak berkuasa supaya menahan dan menyiasat pemimpin DAP Teresa Kok yang menurutnya terlibat dalam insiden rusuhan berkenaan.

Azwanddin berkata Menteri Industri Utama itu mempunyai kaitan dengan syarikat pemaju yang berebut tanah kuil berkenaan.

"Syarikat pemaju itu melibatkan Teresa Kok, pendedahan mengenainya telah dibuat berulang kali, namun tidak ada sebarang tindakan.

"Teresa Kok sehingga kini tidak berani sama sekali membuat laporan polis atau kenyataan media menafikan perkara ini.

"Hari ini, saya minta, saya tuntut pihak polis tangkap Teressa Kok," katanya ketika berucap pada perhimpunan itu di Klang petang tadi.

Untuk rekod, Teresa Kok bulan lalu sudah menafikan dakwaan yang menuduhnya mempunyai kaitan dengan pemaju.

"Tolong berhenti heret saya dalam insiden rusuhan kuil ini. Saya tidak ada kaitan dengan pemaju atau projek di tapak tanah kuil berkenaan," katanya.

Pemaju yang merupakan pemilik tanah kuil berkenaan, One City Development dimiliki MCT Bhd.

MCT Bhd dimiliki oleh syarikat berpangkalan di Filipina, Ayala Corporation.

Lihat Komen
ADS