Pemuda DAP hari ini menggesa pihak polis mempercepat proses membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock.

Kata mereka, sehingga sekarang, pembunuh sebenar mendiang Teoh masih belum dihadapkan ke muka keadilan.

“Walaupun Mahkamah Rayuan telah memutuskan rejim kerajaan sebelum ini untuk membayar RM600,000 kepada keluarga Teoh sebagai pampasan, namun sebenarnya pembunuh sebenar Teoh masih belum dihadapkan ke muka pengadilan.

“Maka keadilan demi (kematian) Teoh masih belum ditegakkan sehingga kini walaupun anak Teoh sudah berusia 8 tahun," kata tiga pemimpin pusat pergerakan itu dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh anggota jawatankuasa pusat Pemuda DAP Leong Yu Sheng, Tan Tiong Yih dan Woo Kah Leong.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat sembilan bangunan yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam. Teoh berada di sana untuk disoal siasat.

Mendiang merupakan pembantu politik ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Suruhanjaya siasatan diraja yang menyiasat kes itu sebelum ini menggambarkan tiga pegawai SPRM terbabit dalam kematian Teoh.

Bagaimanapun, bekas pengarah siasatan SPRM Selangor, pembantu pegawai penguat kuasa Arman Alies dan pembantu supreintenden Mohd Ashraf Mohd Yunus, dibersihkan dari sebarang salah laku.

Pada 20 Jun, kabinet dilaporkan bersetuju untuk membuka semula siasatan kematian Teoh, namun pihak polis dilaporkan masih menunggu arahan dan skop siasatan untuk membuka semula siasatan kes tersebut dari pejabat peguam negara.

Polis juga dilaporkan telah bersiap sedia dengan menubuhkan pasukan khas untuk mengendalikan kes tersebut seperti yang dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada 22 Oktober.

Mengulas lanjut, Pemuda DAP menyuarakan harapan mereka agar kerajaan PH dapat menegakkan keadilan demi Teoh.

“Sesungguhnya pembukaan semula siasatan kes terhadap insiden Teoh adalah menunjukkan bahawa kerajaan PH di bawah Malaysia Baru adalah bertekad untuk menegakkan keadilan demi individu seperti Teoh yang dizalimi di bawah rejim Umno-BN,” kata mereka lagi.