Pakatan pembangkang memberikan jaminan bahawa hubungan Malaysia dengan jiran-jirannya kekal stabil dan lebih bermakna jika ia berjaya mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional.

"Barisan Alternatif tidak pernah berhubung atau berbincang dengan kerajaan Singapura (setakat ini) dan sebarang sindiran tentang perselisihan masa depan tidak menguntungkan kedua-dua pihak," kata presiden PAS Datuk Fadzil Noor hari ini, mengulas kenyataan menteri kanan Singapura Lee Kuan Yew di Kuala Lumpur semalam, selepas lawatan empat hari.

Bekas perdana menteri republik itu mendakwa beliau rela membuat "tolak ansur" dengan kerajaan Malaysia berhubung beberapa perkara yang belum diselesaikan kerana percaya "lebih selamat" berunding dengan kerajaan sekarang, berbanding kerajaan baru yang tidak dipimpin Umno.

Dalam satu kenyataan kepada malaysiakini , Fadzil menyifatkan kenyataan Lee itu sebagai "terlalu awal dan tidak diingini."

Perkara-perkara itu termasuklah bekalan air negara ini ke republik itu, pembangunan tanah milik syarikat keretapi KTM Bhd, dan status Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin.

Turut dirundingkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, penggunaan ruang udara Malaysia untuk latihan tentera Singapura dan pengeluaran hasil caruman daripada kumpulan wang pekerja di republik itu yang dimiliki rakyat Malaysia.

Ketua Pembangkang itu berkata, BA telah menggariskan beberapa prinsip umum berkenaan hubungan luar, antaranya melaksanakan dasar berasaskan kebebasan dan sikap tidak berpihak, menyokong dasar perbincangan membina seperti dipersetujui Asean, dan juga membina persahabatan ke arah keamanan dan kerjasama.

"BA berhasrat membuang perasaan takut dan bimbang (negara-negara rantau ini) seperti yang cuba digambarkan oleh kerajaan pimpinan Umno dan media mereka," tambahnya.