Inkues kematian Adib dalam masa terdekat
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan satu inkues akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Beliau dimaklumkan mengenai hal itu oleh Peguam Negara Tommy Thomas ketika perbincangan mengenai perkembangan kes tersebut.
“Peguam negara telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya, dalam menjalankan kuasanya di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian allahyarham.
“Pihak pendakwa raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Tambah beliau lagi, dalam prosiding inkues itu, majistret akan mempunyai kuasa yang luas bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian Adib.
“Hal itu termasuk mempertimbangkan bagaimana allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain,” kata anggota parlimen Pagoh.
Selain peguam negara, kata Muhyidin, beliau turut dimaklumkan tentang perkembangan siasatan kes tersebut oleh pihak polis yang kini menyiasatnya bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan itu melibatkan rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula (re-enactment) dan juga hasil bedah siasat oleh forensik patalogi telah menemukan dapatan tertentu mengenai sebab kematian allahyarham.
Bagaimanapun hasil siasatan hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.
Adib ialah anggota bomba yang ditugaskan untuk memadamkan kebakaran kenderaan semasa malam kedua rusuhan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November lalu.
Pihak berkuasa mengatakan Adib diheret keluar dari kenderaannya sebelum dibelasah perusuh, menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember.

