Polis sahkan letupan bom di Prangin Mall
Letupan yang menyebabkan seorang terbunuh dan seorang cedera dekat sebuah pusat hiburan di kawasan pejalan kaki pusat membeli belah Prangin Mall di Pulau Pinang malam tadi berpunca dari bahan letupan berkuasa rendah, demikian menurut polis.
Letupan yang menyebabkan seorang terbunuh dan seorang cedera dekat sebuah pusat hiburan di kawasan pejalan kaki pusat membeli belah Prangin Mall di Pulau Pinang malam tadi berpunca dari bahan letupan berkuasa rendah, demikian menurut polis.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, SAC II Syed Ismail Syed Azizan berkata punca itu dikenalpasti berdasarkan penemuan awal beberapa kepingan besi, paku dan kelongsong peluru bertaburan di sekitar tempat kejadian awal pagi ini.
Katanya, kuasa letupan sejauh antara 30 dan 40 kaki itu hampir menyamai kekuatan letupan mercun atau bunga api.
Bercakap dalam sidang akhbar hari ini Syed Ismail berkata bahan letupan yang mempunyai fius sambungan seakan-akan sumbu mercun itu diletakkan dalam rimbunan pokok bunga hiasan di kaki lima Jalan Dr Lim Chwee Leong.
Syed Ismail berkata sebanyak empat butir kelongsong peluru dan lebih 20 batang paku lama sepanjang kira-kira lapan sentimeter ditemui di kawasan itu.
"Kemungkinan serbuk senjata dan bahan kimia seperti sulfur digunakan untuk meletupkan bahan itu," katanya.
Kawasan pejalan kaki
Menurut laporan Bernama, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi, seorang jurulatih renang Yeoh Kok Siew, 47, terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi pengunjung Wong Boon Tat, 66 cedera akibat letupan itu.
Laporan awal malam tadi menyebut, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kotak suis elektrik meletup ketika mereka sedang menyaksikan pertandingan nyanyian anjuran sebuah premis hiburan di kawasan pejalan kaki itu.
Bagaimanapun, siasatan terperinci mendapati kejadian itu berpunca daripada bahan letupan berkuasa rendah dan tiada kaitan dengan kegiatan pengganas.
Syed Ismail berkata, ia kemungkinan bermotifkan masalah perniagaan, orang yang berniat jahat atau cuba memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu.
Sejak pagi ini, keadaan lalu lintas di sekitar Komtar menghala ke Prangin Mall sesak teruk berikutan penutupan beberapa batang jalan berhampiran tempat kejadian oleh pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Syed Ismail berkata tidak mungkin bahan letupan itu dibuat oleh orang profesional memandangkan letupannya berkuasa rendah.
"Sesiapapun yang mempunyai pengetahuan membuat bunga api dan mercun dan ada sedikit pengetahuan membuat bahan letupan mampu membuatnya seperti membuat meriam katak atau meriam buluh," katanya.
Rondaan ditingkat
Beliau berkata keadaan di negeri ini terkawal dan beliau meminta orang ramai supaya tidak panik.
Katanya, mereka juga tidak perlu bimbang jika melihat ramai anggota polis atau banyak kereta peronda ditugaskan sekitar negeri ini kerana ia bertujuan mencegah jenayah berikutan perayaan Tahun Baru Cina menjelang tiba.
Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.
Sementara itu, Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang turut hadir dalam sidang akhbar itu meminta orang ramai tidak menyebarkan khabar angin berhubung kejadian itu dan menunggu sehingga polis selesai menjalankan siasatan.
Katanya, siasatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati letupan itu bukan berpunca dari kotak suis TNB seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Gan Kong Meng atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut melalui talian 04-2282222 atau Pegawai Penyiasat kes itu, ASP Azry Akmar Ayob, melalui talian 019-5670059.

