Terjemahan Seorang individu yang terbabit sehingga tercetusnya skandal Metramac hari ini membuat laporan polis. Pada September 1990, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, telah mengetuai demonstrasi penduduk di kawasan pilihanrayanya, sehingga memaksa kutipan tol di Jalan Cheras digantung.

Bantahan 16 tahun lalu itu turut mengakibatkan Tan (foto) ditahan kira-kira seminggu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan tahanan tanpa dibicarakan.

Tan dan partinya, DAP, mendesak pihak polis supaya menyiasat skandal RM756.7 juta membabitkan syarikat konsesi Metramac Corporation Sdn Bhd (Metramac) dan mengambil tindakan terhadap para menteri dan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Umno yang terbabit dalam kes itu

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, laporan tersebut dibuat oleh Tan di ibupejabat balai polis daerah Cheras kira-kira jam 1 tengah hari ini. Tan diiringi oleh Lim dan tiga lagi ahli Parlimen DAP Tan Gan Seng Giaw, Teresa Kok dan Fong Kui Lun.

Dalam satu kenyataan semalam, Lim berkata, rakyat Malaysia terperanjat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Metramac membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd kerana kehilangan hak pengiklanan.

Nama beberapa ahli perniagaan terkenal yang turut disebut dalam penghakiman berkenaan ialah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Umno, Tan Sri Halim Saad dan Datuk Anuar Othman.

Wang pembayar cukai

Menurut Lim, Hakim Datuk Gopal Sri Ram, dalam penghakimannya, telah mempersoalkan mengapa wang pembayar cukai telah disalurkan ke tangan dua individu berkenaan.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Daim telah menggunakan kuasanya untuk faedah Anuar dan Halim.

Metramac, yang dahulunya dikenali sebagai Syarikat Teratai KG Sdn Bhd (STKG), mendapat tender membina dan mengendalikan operasi pengswastaan beberapa batang jalan, termasuk Jalan Cheras.

Disebabkan bantahan oleh Tan dan penduduk Cheras ketika itu, maka kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa menggantungkan kutipan tol di situ.

Daim, selaku menteri kewangan, telah memaklumkan kepada pemegang saham syarikat tersebut ketika itu, bahawa kerajaan tidak mempunyai RM764 juta untuk membayar pamapasan apabila menamatkan kontrak kutipan tol pada 12 September 1990.

Berikutan itu, STKG menghadapi masalah kewangan kerana syarikat tersebut telah melaburkan RM65 juta wang pemegang sahamnya dan RM40 juta untuk pembayaran balik pinjaman.

Pada November 1990, UEM Bhd telah membuat tawaran untuk membeli kesemua saham STKG pada harga RM97.5 juta.

Realitinya, kata Lim, saham tersebut telah dibeli oleh sebuah syarikat yang dicadangkan oleh UEM, bernama Metramac di mana pemegang sahamnya adalah Halim dan Anuar.

Gopal, dalam penghakimannya minggu lalu berkata, (dalam keadaan kewangan syarikat berkenaan), tidak seorangpun yang berfikiran waras akan menganggap tawaran menjual saham mereka kepada Metramac pada harga RM97.5 juta, sebagai satu pilihan.

Lagi pula, katanya, tawaran oleh UEM untuk membeli saham STKG pada harga RM97.5 juta itu tidak mempunyai sebarang kewajaran komersil.

"Di sini anda ada sebuah syarikat yang kehilangan modal pemegang saham, pinjamannya dan tidak ada wang, serta menanggung beban hutang yang banyak.

"Ia tidak ada prospek untuk menerima pampasan dari DBKL. Jadi mengapa bayar RM97.5 juta untuk saham syarikat seumpama itu. Jawapannya amat mudah Anuar dan Halim mempunyai sesuatu yang plantif tidak ada. Dan ianya adalah naungan (patronage) Daim."

Sejurus selepas pengambilalihan itu, pemilik barunya telah dibayar RM764 juta sebagai pampasan, sedangkan pada awalnya, Daim berkata, kerajaan tidak mempunyai wang.

Hakim berkenaan juga membuat kesimpulan bahawa Halim dan Anuar telah "memperolehi" RM32.5 juta dari Metramac dan dengan berbuat demikian, mereka mungkin melakukan pecah amanah yang membawa hukuman 20 tahun penjara dan disebat serta didenda jika sabit kesalahan.

Siasatan segera

Lim berkata, semua ini merupakan persoalan yang memerlukan siasatan segera oleh pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Dengan(penghakiman) tersebut, DAP akan mendesak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya mengarahkan kedua-dua jabatan berkenaan supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.

"Ini merupakan satu peluang yang baik untuk kerajaan membuktikan bahawa undang-undang tidak mengira darjat, sama ada mereka itu menteri ataupun ahli perniagaan terkenal," tambahnya.

Beliau juga menegaskan, ia turut menyentuh soal kredibiliti pengurusan ekonomi negara dan integriti nasional.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang bertanya mengapa pihak polis tidak memulakan siasatan terhadap Halim dan Anuar tentang kemungkinan berlakunya pecah amanah berdasarkan penghakiman tersebut.

Perkara itu, katanya, turut menimbulkan persoalan mengenai integriti yang patut menjadi agenda utama mesyuarat Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Integriti hari ini. Berita asal