SPR: Naib Presiden MIC tak layak bertanding untuk 5 tahun
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Naib Presiden MIC C Sivarraajh hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya dalam tempoh lima tahun, bermula 13 Disember 2018.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, ia selepas mengambil kira keputusan Mahkamah Pilihan Raya 30 November lalu - yang membatalkan kemenangan Sivarraajh di kerusi itu pada PRU lalu - serta Akta Kesalahan Pilihan Raya.
"Sivarraajh dalam tempoh lima tahun, dari 13 Disember 2018, tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya.
"(Beliau juga) Tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya," kata Azhar dalam kenyataan.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh selepas mendapat berlaku amalan rasuah yang membawa kepada kemenangan BN.
Sivarraajh mendapat 10, 307 undi untuk menewaskan calon DAP M Manogaran (9,710). Calon PAS Wan Mahadir Wan Mahmud mendapat 3,587 dan calon PSM dan Berjasa hilang wang pertaruhan mereka.
Sementara itu, portal Utusan Malaysia memetik Sivarraajh sebagai berkata terdapat pihak yang bimbang jika beliau terus bertanding pada PRK Parlimen Cameron Highlands.
"Ada pihak yang tidak mahu saya bertanding kembali kerana takut kalah," katanya.
Portal itu juga memetik kenyataan Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail sebagai berkata pihaknya kecewa dengan keputusan SPR berkenaan.
Katanya, Sivarraajh adalah seorang wakil rakyat yang memberi perkhidmatan cemerlang sepanjang menjadi Ahli Parlimen Cameron Hihglands selepas memenangi kerusi itu sebagai calon BN pada PRU14.

"Sudah tentu saya sedih dan kecewa dengan keputusan ini. Apatah lagi Datuk Sivarraajh telah terbukti seorang Ahli Parlimen yang bagus sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen sejak memenanginya pada PRU-14, 9 Mei lepas.
"Dengan keputusan SPR hari ini, saya perlu berbincang dengan kepemimpinan BN Pusat untuk menentukan tindakan selanjutnya.
“Perbincangan dengan Datuk Sivarraajh juga akan dilakukan," katanya.

