Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis: Azwanddin tersadung, bukan dikasari
Diterbitkan:  Dec 28, 2018 6:15 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Polis Klang Selatan hari ini menafikan bertindak kasar terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah yang ditahan reman berhubung ucapan kontroversinya, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli berkata tidak ada kekasaran yang berlaku seperti yang tular di media sosial.

Sebaliknya, menurut Shamsul, Azwanddin hanya terjatuh sebelum diselamatkan polis yang mengiringi beliau.

"Beliau (Azwanddin) telah digari di tangan kanan bersama dua lagi tahanan yang lain dan telah terjatuh ketika dalam perjalanan masuk ke bangunan mahkamah selepas turun dari kenderaan.

"Dan hasil semakan mendapati, ketika turun dari kenderaan polis, beliau hampir tersungkur akibat tersadung dan terlanggar pasu bunga ketika melambai tangan kepada penyokong yang hadir disebabkan tahanan yang berkongsi gari berjalan laju," katanya dalam satu kenyataan.

Malah Shamsul berkata peguam yang mewakili Azwanddin turut mengesahkan mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis.

"Anggota polis yang bertugas bertindak membantu mengangkat beliau dan peguam yang mewakili beliau juga sudah mengeluarkan kenyataan media bahawa telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis," katanya.

'Ugut serang balai'

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebar luas atau memutar belitkan insiden terbabit kerana tindakan tidak bertanggungjawab tersebut boleh menjejaskan ketenteraman awam sekali gus membangkitkan kemarahan masyarakat.

"Tindakan penyebaran berita yang palsu boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 atau Akta Hasutan 1948," katanya.

Azwanddin Hamzah ditahan reman selama empat hari bagi memudahkan siasatan berhubung ucapan kontroversinya, tiga hari lalu.

Ia susulan ucapannya yang mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang sekiranya pihak yang menyebabkan rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman tidak ditangkap.

Pada perhimpunan di Klang tiga hari yang lalu, Azwanddin juga didakwa menghina Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dengan memanggilnya dengan perkataan “paria”.

Azwanddin disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina seseorang.

Lihat Komen
ADS