Farinnie Mohd Farid, isteri kepada Elie Youssef Najem yang mengaku dirinya "jutawan", tidak mengandung sepertimana laporan media sebelum ini yang beliau mengandung tiga bulan.

"Isteri saya baru-baru ini memberitahu saya yang anak saya keluar darah," kata Mohd Farid Abdullah, 67, mengulas status kesihatan anak perempuannya yang berumur 19 tahun itu.

Katanya, beliau tidak pasti sama ada pendarahan itu akibat keguguran atau haid.

Mengenai sama ada rakyat Lebanon berumur 45 tahun yang mendakwa dirinya orang ketiga terkaya di dunia, tahu mengenai keadaan isterinya itu, Mohd Farid berkata, beliau tidak tahu.

"Dr (Elie) memang berharap Farinnie mengandung kerana beliau mahukan anak Malaysia," katanya kepada Bernama di rumah sewa menantunya itu di Villa Putra, di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut Bernama, pada 7 Januari lalu, Elie diselubungi kontroversi apabila mengumumkan untuk menderma RM1.07 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).

Ahli perniagaan Lebanon itu mendakwa beliau bernilai US$46 bilion (RM174 bilion), yang menjadikan dirinya antara orang terkaya di dunia.

Jawi ambil kenyataan

Dalam masa 24 jam selepas disiarkan dalam akhbar, persoalan mengenai siapa beliau sebenarnya mula timbul.

Sejak beberapa bulan lalu, sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat terhadapnya bagi kesalahan menipu dan pecah amanah.

Beliau ditahan polis semalam dan hari ini perintah reman empat hari dikeluarkan terhadapnya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyatakan telah merekodkan kenyataan daripada Elie dan isterinya berhubung status perkahwinan mereka.

Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) sebelum ini dilaporkan mengesahkan pasangan itu tidak berkahwin di Kedah seperti didakwa oleh Elie, dan sijil kahwin yang diperolehi pasangan itu adalah palsu.

Pengarah Jawi, Che Mat Che Ali berkata jabatan itu sedang menyiasat kes itu kerana beliau kini berada di Kuala Lumpur.

Mohd Farid bagaimanapun berkata beliau percaya dengan dakwaan menantunya itu yang beliau seorang hartawan.

"Saya 100 peratus percayakannya," katanya.