Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bersatu mampu laksana sistem satu ahli satu undi lebih baik dari PKR'

AGM BERSATU | Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir menyuarakan sokongan terhadap cadangan sayap pemuda parti itu untuk memperkenalkan sistem satu ahli satu undi dalam pemilihan parti.

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 di Putrajaya hari ini, beliau berkata yakin parti itu mampu melaksanakannya lebih baik berbanding PKR.

"Satu ahli satu undi, kalau kita bimbang pengalaman rakan komponen agak cempera, saya yakin sistem kita, tak mungkin keputusan akan disalahgunakan," katanya tanpa mengulas lanjut tentangnya.

Beliau berkata pemimpin setiap peringkat yang menjalankan tugas dengan baik pastinya dapat memenangi sokongan anggota parti.

"Tetapi kalau tak buat kerja, tak ada program, (hanya) turun naik kementerian untuk kontrak, maka kita lihat apa (akan berlaku ketika) pemilihan parti," katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sayapnya setuju untuk mengusulkan kaedah satu ahli satu undi dilaksanakan dalam pemilihan parti.

Beliau berkata ia penting dalam memberikan ruang kepada akar umbi memainkan peranan dalam parti, selain mengelakkan budaya politik wang dan warlord dalam Bersatu.

Dalam wawancara sebelum perhimpunan, Pengerusi Bersatu Dr Mahathri Mohamad berkata kaedah itu tidak sesuai dilaksanakan dalam pemilihan pertama parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan.

Beliau sebaliknya lebih cenderung kepada sistem yang diamalkan Umno, iaitu calon yang menang dalam undian peringkat bahagian akan mendapat satu undi.

Kenyataan Mahathir itu sebulan selepas tamatnya pemilihan PKR yang berlangsung selama hampir dua bulan yang dilanda masalah dan kontroversi.

Lihat Komen
ADS