Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kontrak, jawatan kekal kuasa’: Bersih bidas Rashid
Diterbitkan:  Dec 31, 2018 11:36 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Gabungan reformasi pilihan raya, Bersih terkejut dengan gesaan Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman supaya parti itu menggunakan kedudukannya sebagai kerajaan bagi menyalurkan sumber dan projek kepada ketua bahagian.

Ini kata Rashid bagi memastikan Bersatu menang pilihan raya “dengan apa cara sekali pun.”

“Ia menimbulkan pertanyaan jika kerajaan Pakatan Harapan pada umumnya, dan Bersatu secara khusus, komited terhadap reformasi pilihan raya dan institusi.

"Adakah Rashid dan perwakilan yang bersorak begitu cepat lupa mengapa rakyat Malaysia menolak kerajaan Umno-Barisan Nasional sebelum ini, pada tujuh bulan yang lalu?" Soal Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, naib presiden Bersatu itu menempelak pihak yang membantah gesaan perwakilan agar kerajaan memberikan jawatan dan kontrak agar parti itu dapat mengekalkan kuasa.

Kerajaan jadi habuan parti

Kata-kata itu selepas Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengecam beberapa perwakilan membuat gesaan itu.

Beliau menyifatkan bantahan itu sebagai “pandangan bodoh,” ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 hari ini, dan disambut dengan tepukan gemuruh.

"Dalam PRU kita kena menang by hook or by crook - dengan apa cara sekalipun - kita kena menang.

"Semua ketua bahagian mesti mendapat aktiviti (dan) peluang (bagi membolehkan mereka) mampu dari segi kewangan dan pertahankan kedudukan," kata Rashid yang juga bekas pengerusi SPR.

Bersih juga menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu untuk menangani masalah rasuah dengan mempercepat pelaksanaan reformasi undang-undang.

Antara lain, Bersih menyarankan kerajaan untuk menggubal Akta Neutraliti Pentadbiran yang mengawal selia masalah naungan kronisme dan penyalahgunaan sumber kerajaan atau kuasa awam bagi tujuan kepentingan parti pemerintah.

“Perdana menteri perlu menghentikan budaya dan mentaliti menjadikan kerajaan sebagai habuan parti, ini akan menjadikan PH menjadi imej kerajaan lama yang ditumbangkannya,” jelas Bersih lagi.

Bersih turut mendesak kerajaan segera menggubal Akta Pembiayaan Politik, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 lalu.

Lihat Komen
ADS